Permulaan hebat daripada Jonathan

Kuala Lumpur: Satu permulaan yang baik buat pelari berpengalaman negara Jonathan Nyepa apabila muncul juara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers yang berlangsung di Stadium Mini Bukit Jalil hari ini.

Jonathan mencatatkan masa 10.47 saat (s) untuk menewaskan Muhammad Haiqal Hanafi di tempat kedua, 10.59s dan Muahmmad Arsyad Saat di tempat ketiga 10.64s.

Manakala juara Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan terpaksa akur di keempat selepas mencatatkan masa 10.73s.

Jonathan ketika ditemui berkata, dia berpuas hati dengan catatan yang dilakukan terutama pada kejohanan pertama yang disertainya tahun ini

“Saya berpuas hati dengan catatan 10.47s. Ia satu catatan yang baik untuk permulaan tahun dengan keadaan yang terpaksa berlari sebanyak tiga kali dalam keadaan cuaca panas dan perubahan waktu larian sebenarnya ia satu masa yang baik.

“Kehadiran rakan-rakan yang lain seperti Haiqal, Khairul Hafiz, Arsyad juga banyak membantu larian saya untuk berlari lebih pantas hari ini, ” katanya.

Sementara itu pelari wanita negara Zaidatul Husniah Zulkifli mengungguli acara 100m wanita.

Zaidatul yang dikenali dengan panggilan ‘Adik’ itu bagaimanapun diberi tentangan sengit oleh rakan sepalatih, Nor Azreen Nabila sebelum menang dengan catatan masa 12.02s.

Azreen di tempat kedua merekodkan masa 12.09s manakala tempat ketiga milik atlet Nurul Faizah Asma’ Mazlan, 12.43s.

Biarpun berjaya mempertahankan kejuaraan, Zaidatul berkata, dia tidak puas hati dengan catatan masa berkenaan kerana menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan 11.50 milik G Shanti.

“Saya dan jurulatih sasarkan untuk pecahkan rekod tapi nak buat macam mana tak dapat nak buat keadaan tak mengizinkan.

“Sebab hari ini kena lari tiga kali dengan jarak masa yang jauh sebelum final sedikit merencatkan larian saya,” katanya.

Biarpun begitu Zaidatul berkata dia masih tidak berputus asa dan masih mempunyai banyak masa lagi untuk berbuat demikian di kejohanan akan datang.

Antara kejohanan yang menjadi sasarannya adalah di tiga siri sirkit kebangsaan yang akan bermula selepas Ramadan ini.-Harian Metro