Terbuka Switzerland satukan semula Roy King-Wan Arif

KUALA LUMPUR: Kejohanan badminton Terbuka Switzerland dari 19 hingga 24 Mac ini menjadi medan membentuk kembali keserasian beregu lelaki negara Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi yang digandingkan semula selepas tiga bulan ‘terpisah’.

Roy King-Wan Arif yang mula berganding pada Mac tahun lalu mencuri tumpuan selepas meraih beberapa kejuaraan termasuk muncul juara kebangsaan sebelum langkah mereka terhenti apabila Roy King mengalami kecederaan lutut pada Disember.

Roy King ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini mengakui teruja apabila dapat kembali menyertai kejohanan selepas berehat panjang, namun pada masa sama berwaspada supaya kecederaan itu tidak berulang.

“Sekarang apa boleh dikatakan keadaan saya berada pada tahap 100 peratus bersedia untuk beraksi. Ini minggu pertama saya jalani latihan, boleh dikatakan proses itu baik sekali,” katanya.

Selain turun dalam acara beregu lelaki, pemain berusia 23 tahun itu akan berpasangan dengan Valeree Siow dalam acara beregu campuran.

Sementara itu, Wan Arif yang teruja gandingannya sudah pulih dan kembali ke gelanggang berharap mereka dapat mengatur rentak secepat mungkin bagi membina semula keserasian sekali gus mencipta keputusan yang baik di kejohanan Super 300 itu.

“Perasaan itu lain sebab sejak Disember lagi kami tidak berlatih bersama dan saya turut bertukar-tukar gandingan.

“Bagaimanapun, kami tidak mahu sasaran (suku akhir) itu dijadikan beban kerana apa yang penting kami hanya nak berikan persembahan terbaik setiap kali beraksi,” katanya yang tekad memperbaiki kelemahan mereka khususnya ketika detik penting menuju mata kemenangan. – BERNAMA