Contohi kejayaan skuad hoki 5s

KUALA LUMPUR: Pencapaian skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara yang muncul naib juara Piala Dunia di Muscat, Oman, Januari lalu wajar dijadikan contoh oleh pasukan hoki kebangsaan yang lain.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, berkata kejayaan yang dilakar skuad bimbingan Wallace Tan itu meletakkan Malaysia sebagai salah satu negara sukan yang sedang meningkat naik sekali gus menaikkan martabat negara di persada sukan antarabangsa.

Katanya, ia detik bersejarah buat sukan hoki negara, lebih-lebih lagi ia adalah Piala Dunia sulung buat hoki 5s.

“Kerja keras serta usaha anda selama ini berjaya menaikkan status Malaysia sebagai negara sukan yang meningkat naik. Kejayaan menjadi naib juara boleh menjadi contoh terbaik buat pasukan-pasukan hoki kebangsaan yang lain.

“Kejayaan ini juga adalah hasil kerjas keras pengerusi jawatankuasa hoki 5s, Hasnizam Hassan yang meyakinkan MHC bahawa acara ini boleh membuahkan hasil dan ia sudah terbukti,” katanya.

Malaysia terlepas gelaran juara selepas tewas 2-5 di tangan Belanda pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman.

Meskipun gagal membawa pulang trofi kejuaraan namun kekecewaan itu sedikit terubat apabila kapten skuad negara, Akhimullah Anuar Esook dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Sementara itu, Subahan turut memuji kegigihan skuad hoki 5s wanita meskipun mereka sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas tewas 4-8 kepada Uruguay dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam.

“Kepada pasukan wanita, satu pencapaian yang baik menamatkan saingan di kedudukan keenam dan kami tabik kepada anda. Bukan sesuatu yang mudah berdepan lawan sukar, namun anda semua sudah memberikan segala-galanya,” katanya.-Berita Harian