Pentas rebut tiket ke Kejohanan Dunia

SHAH ALAM: Kejohanan Golf Malaysia Kanak-Kanak Amerika Syarikat 2024 yang dianjurkan pada 5 hingga 7 Mac di sini bakal menjadi pentas buat pemain muda negara merebut tiket ke Kejohanan Remaja Dunia pada Julai depan.

Pengarah Eksekutif Sports Excel C Sivanandan berkata kejohanan yang dianjurkan Sports Excel dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu merupakan platform mencungkil bakat pemain muda negara selain memberi peluang kepada mereka untuk melayakkan diri ke pentas antarabangsa.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di Kelab Golf & Country Glenmarie di sini.

“Kejohanan ini untuk pembangunan akar umbi bagi sukan golf di Malaysia, sekiranya pemain dapat mata-mata tertentu mereka berpeluang untuk layak ke Kejohanan Remaja Dunia yang dianjurkan di Pinehurst, North Carolina, Amerika Syarikat pada Julai.

“Langkah bagus untuk menggalakkan pemain muda negara keluar negara, bertanding di luar negara tunjuk kebolehan seterusnya mendapatkan biasiswa sukan dari Amerika Syarikat, sekiranya mereka keluar, mereka boleh mohon biasiswa untuk karier sukan dan akademik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Golf Malaysia Kanak-Kanak A.S di sini hari ini.

Sivanandan berkata, Kejohanan Golf Malaysia Kanak-kanak A.S merupakan pusingan akhir bagi Jelajah Tempatan U.S Kids Golf Malaysia 2023 bermula 31 Oktober hingga 2 Disember tahun lalu.

Beliau berkata seramai 106 peserta berusia lima hingga 18 tahun daripada 16 buah negara layak ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu dengan 37 daripadanya pemain Malaysia. – BERNAMA