‘Kemenangan motivasi awal tahun’

JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan dunia buat kali kelapan merupakan motivasi terbaik untuk kejohanan seterusnya pada April depan.

Malah lebih mengembirakan katanya, pencapaian diraih dalam Kejohanan Badminton Para Dunia 2024 yang merupakan kejuaraan pertama disertainya pada tahun ini.

“Sejujurnya bukan satu kemenangan mudah tambahan pula apabila berdepan seteru saya, Dheva Anrimusthi.

“Namun saya gembira apabila percaturan strategi memberi impak positif terutama pada set penentuan yang mengambil masa lebih sejam.

“Biarpun begitu kemenangan pertama tahun ini satu motivasi buat saya untuk melakukan persiapan lebih rapi bagi dua kejohanan seterusnya di Sepanyol pada April depan,” katanya yang turut mengandakan usaha untuk menggalas cabaran negara ke Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos ini kepada Sukan Sinar.

Di Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya itu, juara Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang beraksi dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) menumpaskan Anrimusthi, 21-15, 16-21, 21-15 dalam perlawanan 62 minit.

Rentak kemenangan itu kemudian diteruskan dalam acara beregu lelaki SU5 apabila beliau dan Muhammad Fareez Anuar mengalahkan wakil India, Chirag Baretha-Raj Kumar, straight set 21-17, 21-18 untuk kejuaraan berganda tahun ini.


INFO

Cheah Liek Hou

– Juara acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Para Dunia 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017, 2022 dan 2024

Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!

– Juara acara beregu lelaki Kejohanan Badminton Para Dunia 2005, 2007, 2011, 2013, 2015 dan 2024-Sinar Harian