Haikal sasar juarai Masters Orleans

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri meletakkan sasaran membawa pulang mahkota kejuaraan sulung tahun ini bersama pasangannya, Choong Hon Jian pada kejohanan Badminton Masters Orleans 2024 di Orleans, Perancis, pada 12-17 Mac ini.

Muhammad Haikal berkata beliau mahu mengecap kejayaan membanggakan di Orleans bagi menambat hati jurulatih untuk menyenaraikan mereka ke dalam skuad Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, pada 28 April-5 Mei ini.

“Setakat ini persediaan baik, kalau tengok undian agak bagus dan ada peluang (juara di Orleans). Sekiranya nak tunjuk (kami) layak (Piala Thomas 2024) kena buktikan ketika di Orleans ini .

“Jika menang gelaran dapat beri kepercayaan kepada jurulatih, jika kalah macam mana nak masuk ke skuad Piala Thomas,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Hon Jian-Muhammad Haikal bakal membuat perhitungan dengan satu lagi wakil negara, Lwi Sheng Hao-Jimmy Wong pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 300 tersebut.

Biarpun dibelenggu prestasi kurang meyakinkan pada permulaan musim, Muhammad Haikal berkata beliau dan Hon Jian sedang berusaha keras mencapai semula persembahan terbaik mereka Disember lepas sehingga bergelar juara dua kali berturut-turut di India pada saingan Antarabangsa India Syed Modi 2023 dan Masters Guwahati.

Muhammad Haikal-Hon Jian memulakan kempen 2024 dengan tersingkir seawal pusingan kedua pada Masters Indonesia 2024 kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark, 17-21, 19-21.

Nasib ternyata tidak menyebelahi pasangan ranking ke-39 dunia itu apabila terpaksa menarik diri pada pusingan pembukaan Masters Thailand 2024, baru-baru ini, susulan kecederaan buku lali dialami Muhammad Haikal sewaktu ketinggalan 7-16 pada set pertama kepada Kim Won Ho-Na Sung Seung dari Korea Selatan. – BERNAMA