‘Saya percaya 100 peratus dengan program MSN’

KUALA LUMPUR: Walaupun tidak berada dalam program Road To Gold (RTG), ia tidak menghalang semangat atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohd Latif untuk melakukan persiapan terbaik menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 26 tahun itu percaya program latihan yang diperuntukkan Majlis Sukan Negara (MSN) memberi impak positif dalam membantunya bagi menggalas misi negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.

“Saya percaya 100 peratus dengan program yang diberikan MSN. Tugas saya sekarang hanyalah memperbaiki kelemahan serta bekerja lebih keras.

“Setakat ini, program dari MSN adalah saya akan pergi ke Palma dan Hyeres. Saya akan menjalani latihan di Palma selama dua minggu dan selepas itu akan ada Last Chance Regatta di Hyeres,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pertemuan dengan Ketua Kontinjen (CDM) Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin, di salah sebuah hotel di sini, hari ini.

Difahamkan, Shazrin akan menjalani latihan di Palma, Sepanyol bermula 23 Mac ini sebelum menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis pada 18 hingga 27 April nanti.

Selain itu, Shazrin menjelaskan aksi di Regatta nanti bakal menjadi medan pemanas badan terbaik buatnya memandangkan atlet yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Paris akan turut mengambil bahagian.

“Laluan perlumbaan di Regatta nanti memang sama dengan Sukan Olimpik, jadi kelebihan untuk saya bagi melihat apa aspek yang perlu diperbaiki. Hyeres adalah kejohanan paling besar kerana banyak pasukan akan bertanding,” katanya.

Sementara itu, Hamidin menjelaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan memberikan bantuan kepada semua atlet yang layak ke Sukan Olimpik meskipun tidak berada dalam RTG.

“Seperti yang dibincangkan dengan Menteri (Hannah Yeoh), pihak saya, MSN dan MOM akan bantu mana-mana permintaan atlet yang sudah layak. Memang kita akan bagi sokongan biarpun mereka tidak berada dalam RTG,” katanya.-Berita Harian