Ariana mahu ‘berguru’ di Korea

NILAI: Atlet memanah recurve negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi mahu ‘berkampung’ di Korea Selatan, bagi melakukan persediaan terbaik sebelum menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Paris 2024, yang akan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos.

Pemanah berusia 19 tahun yang akan membuat penampilan sulung dalam temasya berprestij itu berkata pendedahan berlatih di luar negara amat penting baginya, memandangkan beliau hanya pernah beraksi sebanyak dua kali di luar negara iaitu di Thailand dan Ireland.

Walaupun mengakui agak gementar untuk berlatih di Korea Selatan, Ariana Nur Dania berkata ia adalah pengorbanan yang perlu dilakukan sebagai seorang atlet, sekiranya mahu membuahkan hasil buat Malaysia di persada antarabangsa.

“Kita berbincang (bersama Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin) mengenai latihan di luar negara (Korea Selatan) sebelum ke Paris, kerana bagi saya sukan memanah nombor satu di Korea Selatan, selain pendedahan di luar negara sangat penting bagi saya. Respons beliau sangat positif (namun masih menunggu keputusan).

“Ritma mereka (atlet Korea Selatan) sangat baik semasa membuat panahan dan cara mereka mengawal emosi sangat tenang. Sesetengah (pemanah) mungkin agak gelabah, namun cara atlet Korea Selatan sangat baik,” katanya selepas menerima kunjungan Hamidin di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara di sini hari ini.

Pertemuan itu juga membincangkan keperluan pelajar Kejuruteraan Mekanikal di German-Malaysian Institute (GMI), Selangor itu untuk membawa peralatan memanah tambahan ke Paris, sebagai persediaan menghadapi insiden di luar jangka.

Beliau juga akan menyertai tiga kejohanan antarabangsa iaitu Piala Dunia Shanghai, China (April); Piala Dunia Yecheon, Korea Selatan (Mei); dan Piala Dunia Antalya, Turki (Jun), selain kejohanan kebangsaan di Shah Alam, Selangor yang bermula Rabu ini (28 Februari), sebagai persediaan ke temasya empat tahun sekali itu.

“Sejak layak hari itu, jurulatih telah memberitahu saya akan sertai tiga kejohanan antarabangsa dan satu kejohanan kebangsaan. Patutnya saya sertai kejohanan di Iraq bulan ini (namun ada masalah visa).

“Kecewa sikit (tidak pergi Iraq) tapi tak apa sebab jurulatih juga sudah sahkan kejohanan lain. Setakat ini saya hanya fokus latihan dan apa yang perlu dibaiki,” katanya.

Sementara itu, jurulatih memanah negara Muhammad Marbawi Sulaiman berharap masih ada atlet negara yang mampu melayakkan diri ke Paris 2024, apabila Piala Dunia Antalya, Turki Jun ini menjadi medan terakhir untuk slot ke Olimpik.

“Dalam podium kita ada empat atlet negara, tapi nanti masa kelayakan itu kita akan pilih lagi dua yang akan pergi bersama Ariana Nur Dania,” katanya.

Ariana Nur Dania mengesahkan tiket Olimpik menerusi Kejohanan Benua Asia di Bangkok, Thailand 2023. – BERNAMA