Cabaran skuad ping pong wanita di Busan lebur

Kuala Lumpur: Hasrat skuad ping pong wanita negara menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Dunia 2024 di Busan, Korea Selatan tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada Croatia hari ini.

Pada aksi pusingan 32 terbaik di Pusat Pameran dan Konvesyen Busan itu, Croatia terlebih dahulu berada di depan selepas Hana Arapovic menewaskan wakil negara Karen Lyne dengan keputusan 2-3.

Wakil kedua negara Alice Chang Li Sian pula gagal memberi mata penyamaan buat pasukan selepas tewas kepada Lea Rakovac 0-3.

Ho Ying kemudian bangkit merapatkan kedudukan buat Malaysia apabila menewaskan Mateja Jeger 3-0. Malaysia cuba mengheret perlawanan ke set penentuan namun usaha itu terbantut selepas Alice tewas kepada Hana 1-3 pada perlawanan keempat.

Kejohanan berkenaan menawarkan slot ke Sukan Olimpik 2024 Paris sekiranya mana-mana pasukan berjaya melangkah ke pusingan suku akhir.

Barisan pemain wanita negara memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan Cuba 3-0 sebelum tewas kepada tuan rumah Korea Selatan 0-3 dan Puerto Rico 2-3 serta menang ke atas Itali 3-2 pada perlawanan pelengkap Kumpulan Lima.

Dalam pada itu, pasukan lelaki negara gagal melangkah ke pusingan 32 terbaik apabila kalah dalam kesemua perlawanan peringkat Kumpulan Tujuh.

Malaysia ditundukkan Kanada 2-3, Singapura 0-3, Brazil 1-3 diikuti Slovakia 0-3.

Skuad ping pong negara akan mengharungi satu lagi kejohanan kelayakan Sukan Olimpik membabitkan saingan individu di Bangkok, Thailand pada Mei depan.-Harian Metro