Skuad memanah para intai dua tiket ke Paris menerusi Fazza Dubai

SKUAD memanah para negara bertekad untuk membidik dua slot kelayakan tambahan ke Sukan Paralimpik Paris 2024, pada kejohanan kelayakan terakhir – Kejohanan Ranking Dunia Memanah Para Fazza kelapan bermula 2-7 Mac ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Ketua jurulatih memanah para negara, Marzuki Zakaria berkata, sandaran itu, diletakkan ke atas Paralimpian Tokyo 2020, Wiro Julin, G. Daneshen (kedua-duanya compound lelaki) dan Nurfaizal Hamzah (recurve lelaki).

Setakat ini, juara dunia memanah para 2019, S. Suresh dan atlet wanita terbaik temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Nur Jannaton Abd Jalil, telah mengesahkan tiket ke Paris pada Kejohanan Memanah Para Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand hujung tahun lepas, masing-masing sebagai juara recurve lelaki dan naib juara compound wanita.

Skuad negara kini sedang menjalani kem latihan selama seminggu bermula semalam bersama atlet universiti dan Sukma di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu, bagi memastikan misi di Dubai berjaya kerana hanya dua pemanah terbaik (finalis) bagi setiap kategori, akan layak ke Paris.

Marzuki berkata, kem di Terengganu itu, bertujuan meningkatkan ketahanan anak buahnya dari segi mental dan fizikal, kerana menjangkakan cabaran sengit daripada peserta dari seluruh dunia untuk merebut slot kelayakan di Dubai.

“Kita akan berlatih biasa untuk dua hari, kemudiannya akan mempunyai latihan menggunakan format kejohanan sebenar berdepan atlet normal dari UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan atlet Sukma Terengganu, untuk menguji tahap persediaan atlet kita.

“Latihan mencabar diharap dapat meningkatkan teknik dan skil mereka, selain membantu memperbaiki mata pada pusingan kelayakan pada kejohanan sebenar nanti. Mereka perlu memberikan lebih 100 peratus komitmen untuk mencapai misi itu.

“Kita meletakkan harapan besar ke atas Wiro yang pernah layak ke temasya Tokyo, serta Daneshen yang hampir layak ke Paris, namun terlepas dengan satu mata pada kejohanan sebelum ini, untuk meraih tiket pada kali ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, walaupun Suresh dan Nur Jannaton telah meraih slot ke Paris, mereka juga dituntut untuk menampilkan prestasi terbaik pada kem latihan dan di Dubai, sebagai persediaan ke temasya Paralimpik bermula 28 Ogos hingga 8 September ini. – Bernama