Norza yakin skuad negara mampu bawa pulang Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Peluang untuk membawa pulang Piala Thomas kembali ke Malaysia selepas 1992 tampak cerah berdasarkan prestasi dipamerkan skuad lelaki negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), minggu lalu.

Meskipun tidak berupaya mengekalkan gelaran di BATC dan menamatkan kempen 2024 sekali naib juara namun bagi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, ada sinar buat Malaysia di saingan Piala Thomas 2024 yang dijadual berlangsung di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei nanti.

Baginya, pasukan sudah menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun terpaksa berdepan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan di BATC 2024 termasuk kecederaan dan kesihatan dialami Ng Tze Yong dan Lee Zii Jia.

Norza turut meluahkan rasa bangganya terhadap barisan pemain lain seperti Leong Jun Hao dan gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang menunjukkan semangat juang tinggi dalam pasukan.

“Walaupun pelbagai masalah dihadapi, yang pertama sekali hakikatnya di peringkat kumpulan kita kalahkan Taiwan, di suku akhir kita kalahkan Singapura dan paling besar apabila kalahkan Jepun di separuh akhir.

“Kalau kita lihat persediaan ke arah Piala Thomas… sekiranya kita buat persediaan lebih baik, saya yakin dan percaya kita dapat menyaingi kuasa besar untuk rampas semula Piala Thomas.

“Kita juga dapat lihat, sebagai contoh Sze Fei dan Nur Izzuddin… ini gandingan yang rujuk kembali dan kita dapat lihat komitmen diberikan sangat tinggi dan menunjukkan prestasi sangat baik.

“Jun Hao menunjukkan kemampuannya menjadi perseorangan ketiga yang sangat kuat dan dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin-Sze Fei, kita mempunyai pasukan yang sangat baik.

“Jadi kita sudah nampak jalan ke Piala Thomas dan harap Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia) dan yang lain dapat membina momentum berkenaan untuk ke Chengdu – tempat kita akan bersaing di Piala Thomas akan datang.

“Apa yang kita perlu, lakukan ‘post mortem’… tengok apa yang kita perlukan kerana Piala Thomas hanya dua tiga bulan sahaja lagi. Jadi kita hanya (perlu) fokus untuk menentukan pasukan yang sangat baik dengan menilai keupayaan pasukan yang lain.

“Saya fikir kita tahu, seperti China… mereka adalah calon lawan yang kuat dan kita perlu cari jalan bagaimana nak tewaskan China apabila kita bertemu nanti,” kata Norza.

Di final BATC yang berlangsung di Pusat Konvesyen Setia City, Shah Alam semalam, pasukan lelaki negara tewas 0-3 di tangan China sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu.

Malaysia tidak menurunkan tonggak utama perseorangan, Lee Zii Jia kerana mengalami masalah resdung dan kesukaran bernafas di final selain pasukan turut dilihat tempang tanpa kelibat Ng Tze Yong yang kembali dihantui isu kecederaan belakang pada suku akhir.-Berita Harian