Malaysia naib juara BATC 2024

IMPIAN skuad lelaki negara untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 tidak kesampaian setelah tewas kepada China 0-3 dalam aksi final di Shah Alam pada Ahad.

Sebelum turun ke gelanggang, pasukan negara menerima tamparan hebat apabila pemain perseorangan utama, Lee Zii Jia tidak berada dalam senarai skuad akibat resdung dan tidak dapat pulih sepenuhnya untuk beraksi.

Tanpa kelibat Zii Jia, pemain muda, Leong Jun Hao mengalas cabaran selaku perseorangan pertama menentang Weng Hong Yang dalam aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam itu.

Bagaimanapun tentangan sengit yang diberikan Jun Hao belum cukup untuk mengatasi cabaran Hong Yang apabila terpaksa akur tewas 19-21, 17-21.

“Berasa sukar apabila turun sebagai perseorangan pertama, namun saya perlu harunginya dan lakukan yang terbaik demi pasukan.

“Cuma berasa rugi ada buat kesilapan terutama ketika menuju ke mata penting,” katanya ketika ditemui media sejurus tamat permainan.

Beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi harapan untuk mengutip mata buat kem negara juga tidak kesampaian setelah kalah kepada Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 16-21, 21-16, 21-23.

Aaron mengakui sudah memberikan yang terbaik sambil melihat pasangan lawan tidak berada dalam tekanan yang tinggi.

“Saya rasa mereka main lagi bagus dan kurang tekanan.

“Saya sudah cuba, tapi tiada tuah,” katanya.

Wooi Yik pula tekad menjadikan kejohanan tersebut sebagai platform untuk meningkatkan lagi prestasi mereka dengan memperbaiki sebarang kelemahan.

“Mungkin tekanan dan harapan yang tinggi mahu kami menang.

“Kami sedar dan memang menjadi tanggungjawab untuk beri kemenangan.

“Sudah cuba yang terbaik, namun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.

Ketinggalan dua mata tidak melemahkan semangat Eogene Ewe yang turun bertarung untuk permainan ketiga, namun cabaran yang diberikan pemain muda itu gagal mengatasi Lei Lan Xi yang menang 21-10, 21-14

Biarpun terpaksa berpuas hati bergelar naib juara, namun Malaysia sudah layak secara automatik ke saingan Piala Thomas di Chengdu, China pada April depan.

Dalam edisi lalu di venue sama, Malaysia muncul juara setelah menumpaskan Indonesia 3-0.

Sementara itu, Team LZJ memaklumkan selepas aksi sengit menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto dalam saingan separuh akhir, kondisi resdung dan tahap pernafasan Zii Jia bertambah teruk.

“Team Zii Jia cuba mengembalikan tahap kecergasannya, tetapi tidak berjaya.

“Walaupun kecewa tidak dapat beraksi, namun percaya rakan sepasukan mampu mengalas cabaran dengan baik,” katanya.-Sinar