Demi Pearly-Thinaah, Rexy sanggup lakukan apa sahaja

SHAH ALAM: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky akan melakukan apa sahaja bagi memulihkan semula prestasi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Rexy, berkata dia akan memastikan kedua-dua pemain itu berada pada tahap prestasi terbaik menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Pearly-Thinaah mengalami kemerosotan prestasi apabila gagal melangkah ke separuh akhir dalam mana-mana kejohanan sejak muncul naib juara Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.

ADVERTISING

Lebih membimbangkan, Pearly-Thinaah tewas di tangan pasangan ranking ke-30 dunia, Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto 14-21, 21-18, 15-21 ketika aksi suku akhir antara Malaysia menentang Indonesia di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), semalam.

“Jika mahu cakap bimbang, sudah tentu saya bimbang dengan prestasi mereka tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana kita mahu mengatasi perkara ini.

“Saya tidak kata yang mereka ada masa depan cerah kerana saya bukan Tuhan tetapi saya akan lakukan apa sahaja dengan kuasa yang saya ada bagi melonjakkan semula prestasi mereka. Ini sememangnya adalah tanggungjawab saya.

“Namun, mereka juga perlu menunjukkan keinginan tinggi bagi meningkatkan prestasi dan berjuang untuk memenangi pingat di Olimpik. Ia tidak boleh hanya datang daripada jurulatih,” kata Rexy.

Dalam pada itu, Rexy memaklumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menggunakan khidmat pakar psikologi berpengalaman, Frederick Tan bagi menguatkan mental pemain negara yang berada dalam program Road to Gold (RTG) dalam persiapan ke Olimpik Paris.

Frederick yang pernah menjadi pakar psikologi kepada bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei akan memulakan tugas secara sepenuh masa bersama BAM bermula 23 Februari ini.

“Kami sememangnya sudah mempunyai sokongan dan bantuan psikologi yang disediakan ISN (Institut Sukan Negara) dan kami memang bekerjasama dengan mereka. Namun, kami sentiasa cuba untuk mencari jalan tentang bagaimana kami boleh memberikan yang lebih baik kepada pemain negara.

“Frederick akan memulakan tugasnya pada 23 Februari dan akan duduk dengan semua pemain yang berada dalam RTG. Kami memerlukan Frederick untuk menilai pemikiran pemain bagi mempersiapkan mereka menghadapi Olimpk Paris dan memenangi pingat emas,” kata Rexy.-Berita Harian