Malaysia jumpa Singapura suku akhir BATC

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara diundi bertemu Singapura pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), esok.

Terdahulu, Malaysia menewaskan Taiwan 3-2 untuk muncul juara Kumpulan B pada aksi di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan sebelum ini sudah pun mengesahkan tiket ke suku akhir dengan aksi hari ini adalah bagi penentuan gelaran juara dan naib juara kumpulan.

Malaysia tampil dengan penuh meyakinkan bermula dengan kemenangan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang mengatasi Lin Chun Yi 21-16, 21-13.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagaimanapun tewas di tangan Lee Jhe Huei-Lee Yang 21-23, 17-21.

Namun, perseorangan kedua, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi kemenangan ke atas Lee Chia Hao 21-19, 21-17.

Beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei memastikan kemenangan awal skuad negara apabila menyumbang mata ketiga dengan menewaskan Wang Chi Lin-Yang Po Han 21-19, 21-14.

Taiwan berjaya mendapat mata kedua menerusi perseorangan ketiga mereka, Chi Yu Jen yang menewaskan Eogene Ewe

Sementara itu, lain-lain perlawanan suku akhir dalam saingan lelaki menyaksikan China menentang Indonesia, Korea Selatan bertemu Taiwan manakala India berdepan Jepun.

Bagi saingan wanita pula, skuad negara diundi bertemu juara bertahan, Indonesia bagi perebutan tiket ke separuh akhir.

Aksi lain membabitkan pertemuan antara Jepun dengan China, India menentang Hong Kong manakala Taiwan berdepan Thailand.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir layak secara automatik ke saingan Piala Thomas/Uber di Chengdu, China pada April depan.-Berita Harian