Skuad hoki 5S terima durian runtuh RM96,000

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan. Hannah Yeoh menunaikan janjinya apabila meluluskan insentif kemenangan sebanyak RM96,000 kepada skuad Hoki 5 sebelah (5s) lelaki kebangsaan.

Insentif itu sebagai imbuhan buat pasukan berkenaan yang muncul naib juara edisi sulung Piala Dunia 5s, di Muscat, Oman, bermula 28-31 Januari lalu.

Perkara itu diumumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam kenyataan ringkas menerusi media sosialnya hari ini, sambil mengucapkan terima kasih kepada Hannah dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas insentif itu.

Ketika menyambut kepulangan skuad kendalian Wallace Tan dari Muscat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 2 Februari, Hannah berkata skuad berkenaan mereka bakal menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM80,000.

Beliau berkata pihaknya juga akan membayar semula wang yang telah dibelanjakan KHM bagi kempen piala dunia itu.

Malaysia muncul naib juara edisi Piala Dunia Hoki 5s 2024 selepas tewas 2-5 di tangan pasukan gergasi Eropah, Belanda pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman.-Berita Harian