21 negara berentap pada Piala Dunia Sepak Takraw

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 negara telah mengesahkan slot untuk menyertai Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini pada 18 hingga 26 Mei ini.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan, dengan memaklumkan pihaknya telah menerima surat rasmi daripada 12 pasukan yang akan berentap bagi kategori Premier dan sembilan pasukan bagi kategori Divisyen 1 untuk beraksi di kejohanan berprestij itu.

“Untuk Premier ada 12 negara iaitu Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, India, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China dan Filipina. Divisyen 1 pula ada sembilan negara iaitu Sri Lanka, Arab Saudi, Perancis, Iran, Taiwan, Nepal, Pakistan, Jerman dan Bangladesh,” katanya pada sidang media PSM di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan penyertaan 21 negara itu telah muktamad dan tidak akan ada penambahan pasukan pada masa akan datang.

PSM, katanya akan mengadakan majlis memperkenalkan piala kejohanan itu bersama majlis pengundian pada 6 Mac ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

“Undian kita buat lebih awal dari sebelum-sebelum ini. Kali ini kita bincang dan mohon kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) supaya negara-negara tahu kumpulan mereka dan boleh buat persiapan awal,” katanya.

Mohd Sumali berkata Piala Dunia kali ini bakal menyaksikan kategori Premier mempertandingkan acara berpasukan yang mempunyai Piala Khas selain acara beregu dan regu turut dipertandingkan bagi kategori itu.

“Divisyen 1 hanya mempertandingkan dua acara iaitu beregu dan regu, tiada berpasukan,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan skuad negara menjelang piala berprestij itu, Mohd Sumali berkata pasukan negara akan dihantar ke Bangkok, Thailand selama dua minggu bagi berdepan aksi pemanas badan awal Mei ini.

Beliau berkata skuad Thailand kemudian akan menyertai latihan pasukan negara di sini sebagai rakan sepelatih sebelum kejohanan itu bermula. – BERNAMA

TAG: sepak takraw, Sepak Takraw 2024, Sepak Takraw 2024, PSM, ISTAF -Berita Harian