Tze Yong ‘panas badan’ di BATC

KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang bermula Selasa ini disifatkan sebagai ujian penting buat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk kembali berada pada tahap optimum selepas dibelenggu kecederaan otot belakang sebelum ini.

Saingan BATC akan menjadi kayu pengukur sebelum dia mempersiapkan diri bagi menghadapi siri kejohanan di Eropah yang mana dia perlu menghasilkan keputusan terbaik dalam misi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Jika tahap kecergasannya mengizinkan, Tze Yong dijangka beraksi sekurang-kurangnya empat daripada lima kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Jerman (27 Februari hingga 3 Mac), Terbuka Perancis (5 hingga 10 Mac), Seluru England (12 hingga 17 Mac), Terbuka Switzerland (19 hingga 24 Mac) dan Masters Sepanyol (26 hingga 31 Mac).

Tze Yong sebelum ini terlepas empat kejohanan pertama musim ini selepas mengalami kecederaan otot belakang di pusingan pertama Terbuka Malaysia, bulan lalu sehingga dia terpaksa menarik diri di Terbuka India, Masters Indonesia dan Masters Thailand.

“Saya sudah 70 hingga 80 peratus pulih tetapi saya tetap perlu berhati supaya tidak memburukkan lagi tahap kecederaan saya.

“Saya sudah mula bermain dalam perlawanan sebenar ketika latihan tetapi sudah tentu ia tidak sama seperti saya berada dalam keadaan 100 peratus cergas. Saya memerlukan masa untuk kembali berada pada tahap terbaik.

“Saya bekerja keras untuk mendapatkan semula kekuatan saya. Mujur, kami akan berdepan pasukan bawahan ketika saingan peringkat kumpulan BATC (Brunei dan Kazakhstan), kedua-dua perlawanan ini adalah sesuatu yang baik untuk saya kembali menjadi kompetitif,” kata Tze Yong.

Selain Brunei dan Kazakhstan, Malaysia turut diundi bersama Taiwan dalam Kumpulan B.

Cabaran Malaysia yang tampil sebagai juara bertahan turut digalas tiga lagi pemain perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Eugene Ewe manakala beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.- Berita Harian