Tze Yong ambil pendekatan berwaspada

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong semakin menunjukkan perkembangan positif dalam fasa pemulihan dari kecederaan belakang yang dialaminya.

Bagi Tze Yong, meskipun dirinya semakin pulih namun dia tetapi berwaspada di dalam latihan agar dirinya tidak terlepas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan berlangsung pertengahan bulan ini.

“Saya kena berhati-hati semasa latihan ini kerana tidak mahu cedera lagi sebelum saingan BATC bermula.

“Ketika jalani sesi latihan, saya dapat rasa tahap kecergasan saya amat berbeza berbanding sebelum ini. Doktor juga tidak memaklumkan jangka masa saya pulih sepenuhnya dan mungkin mengambil masa (pulih dari kecederaan belakang),” katanya.

Selain itu, semangat untuk berjuang mempertahankan kejuaraan BATC juga semakin membara dan dirinya yakin mampu melakukan yang terbaik untuk mendapatkan mata penting bagi pasukan negara.

“Saya yakin BATC minggu depan tidak begitu sukar. Kazakhstan lawan yang mudah dan saya boleh lihat diri saya cukup cergas atau tidak ketika perlawanan tersebut.

“Dua tahun lalu, pasukan yang dihantar tidak begitu kuat tetapi kali ini saya lihat barisan skuad mereka akan beri saingan yang sengit,” kata Tze Yong.

Terdahulu, Tze Yong mengalami kecederaan belakang ketika Terbuka Malaysia bulan lalu sehingga dirinya terlepas beberapa kejohanan penting untuk memburu tiket ke Olimpik Paris 2024.

Malaysia adalah juara bertahan acara berpasukan lelaki BATC edisi lalu, diletakkan di kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei yang bakal membuka tirai saingannya pada 13 Februari ini.-Harian Metro