Giliran Bertrand, Enrique gagal ke Olimpik

Kuala Lumpur: Peminat sukan tanah air terus dikecewakan apabila kali ini gandingan Bertrand Rhodict Lises-Enrique Maccartney Harold pula gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Bertrand Rhodict-Enrique Maccartney sekadar menduduki tangga kesembilan daripada 22 pesaing pada aksi final acara 10 meter (m) platform seirama lelaki di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar setelah hanya mengumpul 355.71 mata secara keseluruhan semalam.

Mereka seharusnya menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik sekiranya berhasrat mewakili negara pada temasya berprestij empat tahun sekali itu.

Emas acara itu dimenangi penerjun China Junjie Lian-Hao Yan yang merekodkan 470.76 mata, diikuti Thomas Daley-Noah Williams dari Great Britain untuk merangkul perak dengan 422.37 mata dan gangsa disandang penerjun Ukraine Oleksii Sereda-Kirill Boliukh (406.47 mata).

Keputusan itu menyaksikan Malaysia masih kempunan kilauan pingat serta masih tiada wakil negara berjaya menempah slot Olimpik di Qatar setakat semalam.- Harian Metro