Wendy-Dhabitah kandas acara 3m papan anjal seirama wanita

KUALA LUMPUR: Gandingan Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri terlepas tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menamatkan acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar di tempat kesembilan, sebentar tadi.

Beraksi di Pusat Akuatik Hamad, Wendy-Nur Dhabitah mengumpul 258.30 mata keseluruhan untuk berada di kedudukan berkenaan daripada 18 pasangan.

Wakil China, Chang Yani-Chen Yiwen memenangi pingat emas dengan 323.43 mata manakala gandingan Australia, Anabelle Smith-Maddison Keeney pulang dengan perak, 300.45 mata.

Melengkapkan pentas podium di Doha bagi acara berkenaan adalah pasangan Britain, Scarlett Mew Jensen-Yasmin Harper yang mengumpul 281.70 mata daripada lima terjunan.

Empat pasangan di kedudukan teratas akan menempah tiket ke Paris 2024 secara merit dan sekiranya ada daripada kelompok berkenaan yang sudah melayakkan diri, slot kelayakan akan diberikan kepada pasangan di bawah mereka.

Begitupun, Wendy dan Nur Dhabitah masih mempunyai satu lagi peluang untuk ke Paris 2024 menerusi acara 3m papan anjal individu yang bermula dengan pusingan kelayakan, esok.-Berita Harian