Hannah harap atlet RTG beri yang terbaik

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak mahu ‘mengganggu’ barisan atlet yang sedang berjuang memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun begitu, Hannah berharap barisan atlet yang berada dalam program Road To Gold (RTG) dapat memberikan yang terbaik selepas beliau diminta mengulas kegagalan atlet terjun, Datuk Pandelela Rinong Pamg melayakkan diri ke Paris dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita, Ahad lalu.

“Proses kelayakan Olimpik masih sedang berjalan dan tak nak ganggu atlet yang bertanding sekarang,” kata Hannah ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, hari ini.

Ahad lalu, Pandelela terlepas tiket ke Olimpik Paris 2024 bagi acara 10m platform individu wanita selepas terkandas di pusingan kelayakan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Pandelela yang memenangi pingat gangsa Olimpik Rio 2016 dalam acara itu gagal mempamerkan prestasi terbaiknya apabila mengakhiri saingan di kedudukan ke-29 daripada 46 penerjun dan hanya mengumpul keseluruhan 231.15 mata selepas lima terjunan.

Bagaimanapun, Pandelela, 30, yang berada dalam program RTG masih mempunyai satu lagi peluang untuk membuat penampilan di Paris 2024 apabila dijadual turun beraksi dalam acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri 11.30 malam ini.

“Dalam RTG, kelayakan (disenarai dalam RTG) ada dua kategori iaitu berada dalam kelompok 10 dan satu lagi pemenang pingat Olimpik yang lalu dan mereka masuk (RTG) secara automatik. Itu sebab Pandelela dan (Nur) Dhabitah (Sabri) ada dalam RTG.

“Apapun, proses (kelayakan) itu masih belum selesai untuk mereka dan saya nak mereka fokus dan pastikan boleh melaksanakannya dengan terbaik.

“Dalam masa sekarang sehingga Paris nanti..seperti disarankan Datuk Lee Chong Wei, atlet kita kena fokus dan berikan 120 peratus bagi memastikan duit dibelanjakan kepada mereka, boleh dimanfaatkan.

“Setakat hari ini, memang segala persiapan atau sokongan kewangan diperlukan setiap atlet RTG itu, sudah pun kita turunkan. Kita harap dari sekarang sehingga Paris, atlet dapat tunjukkan sesuatu,” katanya.-Berita Harian