Haikal ketepikan perasaan takut kerana BATC

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri sanggup mengetepikan perasaan takut meskipun baru pulih daripada kecederaan hanya semata-mata mahu beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) bermula 13 hingga 18 Februari ini.

Haikal yang bergandingan dengan Choong Hon Jian berkata, kecederaan buku lali yang dialaminya di Masters Indonesia semakin baik dan dia kini sedang melalui fasa pemulihan.

“Buku lali saya semakin baik dan kini saya menjalani latihan dalam masa sama melalui fasa pemulihan. Saya menjalani fisioterapi namun dalam masa sama, saya sering berhubung dengan doktor di ISN (Institut Sukan Negara),” kata Haikal.

Menurutnya, doktor ISN memberitahu berlaku kecederaan kecil iaitu tisu buku lalinya koyak namun dia kini lega kerana proses pemulihan berlaku agak pantas.

“Berita mengenai saya dan Hon Jian terpilih menyertai BATC ketika kami berada di Indonesia. Tetapi selepas berita itu, saya alami kecederaan dan rasa sakit itu menjejaskan pergerakan saya sehingga terpaksa menarik diri dari Masters Thailand.

“Tapi dalam latihan, saya tidak rasa sakit lagi kecuali ketika jika mendarat terlalu kuat. Ia membuatkan saya ada perasaan curiga dan takut-takut dalam gelanggang, ketika latihan,” kata Haikal lagi.

Kali pertama berada dalam skuad BATC, Haikal tidak mahu hanya sekadar dilabel pelengkap pasukan, sebaliknya berharap dapat diturunkan dalam mana-mana perlawanan.

“Dalam kumpulan kita, pasukan lawan tidak kuat kecuali Taiwan. Jadi saya harap dapat beraksi sekali gus membiasakan diri dengan suasana pertandingan. Saya tak mahu jadi pemain simpanan saja,” katanya.

Malaysia yang tampil selaku juara bertahan pada 2022, diundi dalam kumpulan B bersama Taiwan, Brunei dan Kazakhstan.-Harian Metro