Effrain raja pecut remaja Pahang

Kuantan: Atlet Majlis Sukan Pahang (MSP) Kuantan B, Muhammad Effrain Feerzan Qhan dinobat sebagai raja pecut acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Remaja Tertutup Negeri Pahang 2024 di Stadium Darul Makmur, di sini kelmarin.

Dia mencatat masa terpantas 10.68 saat (s), tempat kedua perpihak pada rakan sepasukanya Muhammad Rizal Mikail yang mencatat 10.99s dan ketiga atlet, Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Cempedak (SMKTC), Mohamad Shafiq Fikri Mohamad Shafiee, (11.06s).

Dalam kategori wanita juara milik atlet Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) Gambang, Robeah Tarmizi yang mencatat masa 12.88s, naib juara Sharifah Ameesya Sabrina Syedizad Redza (13.33s) dari MSP Kuantan A dan ketiga Nuraeliah Shafiya (13.78s) dari MSP Kuantan B.

Kejohanan dua hari anjuran MSP disertai seramai 200 atlet remaja bagi memilih atlet olahraga yang terbaik untuk mewakili Pahang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak.

Pengarah MSP, Zamri Hassan berkata sejumlah 21 kontinjen terdiri daripada sekolah, majlis sukan daerah, atlet projek dan institut pengajian tinggi swasta mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 11 acara padang dan balapan kategori lelaki dan wanita dipertandingkan yang menawarkan 63 pingat keseluruhan. Hanya atlet berumur 16 hingga 21 tahun bertanding terdiri daripada rakyat Pahang serta pemastautin di negeri ini.

“Pada kejohanan kali ini kontinjen MSP Kuantan B muncul juara keseluruhan dengan menumpul lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa. Tempat kedua milik SSMP Gambang yang mendapat empat emas, dua perak dan dua gangsa. Ketiga Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) Temerloh (3-3-4).

“Atlet yang mencatat keputusan terbaik dari segi catatan masa dan jarak diberi peluang mengikuti program melangkah ke Sukma 2024 Sarawak sebelum mereka disenaraikan untuk membawa cabaran Tok Gajah,” katanya.-Harian Metro