Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 6, 2024

Tze Yong semakin pulih

Kuala Lumpur: Peluang peminat badminton negara untuk menyaksikan semula kemunculan pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) minggu depan bakal termakbul apabila tahap kecederaan belakang dialaminya di Terbuka Malaysia awal Januari lalu sudah semakin pulih.

Menurut Tze Yong, proses latihannya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada ketika ini berjalan dengan baik dan dua perlawanan awal menentang Brunei dan Kazakhstan bakal menjadi medan pemanas badan untuk dirinya.

“Saya rasa sudah pulih dalam 70 ke 80 peratus. Saya sudah menyertai latihan penuh tetapi mungkin perlu ambil masa lagi,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan di ABM, hari ini.

Ujar Tze Yong, dia sudah tidak berasa sakit di bahagian belakang namun belum 100 peratus cergas sepenuhnya.

“Ketika main (latihan), belum lagi dapat rasa (tahap cergas) seperti sebelum ini, memang ada beza. Doktor pun tidak ada memaklumkan (jangka masa pulih sepenuhnya), jadi ia memerlukan sedikit masa,” katanya.

Malaysia yang juga juara bertahan kategori berpasukan lelaki BATC edisi lalu itu diundi bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei dalam Kumpulan B dan bakal membuka tirai saingan bertemu Brunei pada 13 Februari ini.

Ditanya mengenai tahap kesediaannya sekiranya diturunkan pada saingan awal BATC minggu depan, Tze Yong berkata, dia sudah bersedia untuk membantu pasukan negara.

“Rasa minggu depan (BATC) tidak begitu sukar. Lawan Kazakhstan (di perlawanan kedua kumpulan), jadi saya boleh menyesuaikan diri dan lihat sama ada saya boleh 100 peratus ataupun tidak,” katanya biarpun sedar laluan mempertahankan gelaran kali ini bukan mudah.

“Dua tahun lalu, mungkin banyak pasukan yang tak menghantar pasukan terkuat mereka. Tapi kali ini banyak yang hantar, namun saya rasa kami boleh memberikan saingan,” kata Tze Yong.

Cabaran perseorangan akan diketuai Lee Zii Jia selain Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe manakala beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.-Harian Metro

100PLUS DULU KINI, SELAMANYA BERSAMA MSN

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Majlis Sukan Negara (MSN) bersama F&N Beverages Marketing Sdn Bhd pada 6 Februari 2024 bertempat di MSN, Bukit Jalil.

F&N Beverages Marketing bersetuju untuk menyambung ikatan penajaan bersama MSN bagi tempoh 5 tahun akan datang. Penajaan kali ini juga menyaksikan MSN menikmati pakej penajaan berjumlah RM 4 juta.

Turut hadir sama, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan YBhg. Dato’ Raffiq Md Ariff, Pengarah Urusan Makanan dan Penglibatan Industri, Fraser & Neave Holdings Bhd.

MAJLIS PELANCARAN ‘COACHES LOUNGE’ MAJLIS SUKAN NEGARA

Majlis Pelancaran ‘Coaches Lounge’ telah dilancarkan oleh YBrs. Encik Alan Ling, Ahli Lembaga Pengurusan MSN) bertempat di MSN, Bukit Jalil pada 6 Februari 2024.

Pihak MSN telah mengambil inisiatif dalam memastikan hal ehwal jurulatih terus dijaga dengan kemudahan ‘Coaches Lounge’ dimana bilik ini merupakan ruang kerja bagi Jurulatih untuk melakukan tugasan, perjumpaan bersama atlet serta mengadakan taklimat ringkas.

Seramai 18 orang jurulatih dan 6 orang atlet telah hadir ke majlis ringkas tersebut. Turut hadir sama, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN dan YBrs. Encik Ariffin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia