Tarik diri acara pecut, langkah terbaik – Beasley

Kuala Lumpur: Tidak guna memaksa dan ambil risiko, jelas Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley selepas menyaksikan Datuk Datuk Azizulhasni Awang terpaksa menarik diri daripada perlumbaan penentuan gangsa acara pecut individu di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia, semalam.

Menurutnya, keputusan menarik diri dibuat kerana pihaknya tidak mahu mengambil sebarang risiko yang boleh mengundang kepada perkara yang tidak diingini membabitkan tahap kesihatan anak buahnya itu.

“Datuk Azizulhasni dalam keadaan baik, kami memutuskan yang dia sudah pun melakukan yang terbaik dan sudah tiba masanya untuk kami menjaganya (kesihatannya). Seperti yang semua tahu, dia tidak berada dalam keadaan kesihatan 100 peratus dan tiada guna untuk memaksa dia dan mengambil risiko,” kata Beasley.

Ujarnya, ia menjadi tanggungjawab mereka untuk mengutamakan kesihatan Azizulhasni dan membantu pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu bersedia untuk Sukan Olimpik Paris.

“Kini, saingan Piala Negara-Negara sudah pun berakhir dan Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon (Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan merangkap Pakar Perunding Kanan Bedah Institut Jantung Negara) sedang mengatur beberapa siri ujian yang akan dilakukan untuk tempoh beberapa minggu akan datang untuk kita bergerak ke hadapan membina momentum menuju ke Paris,” katanya.

Kelmarin, Azizulhasni membuktikan tiada apa yang mampu menghalangnya biarpun dibelenggu masalah kesihatan apabila memenangi pingat emas dalam acara keirin sebelum terkandas di separuh akhir acara pecut individu, semalam yang kemudiannya menyaksikan dia menarik diri daripada perlumbaan penentuan gangsa.

Sebelum ini, Beasley mendedahkan yang penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau rapi selepas dia perlu mengambil ubat perikarditis – ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Pada April 2022, Azizulhasni terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.

Dalam pada itu, Beasley pihaknya tidak pernah sesekali meragui tahap kemampuan Azizulhasni untuk kembali bangkit di sebalik masalah kesihatan dialaminya sekali gus kekal sandaran utama untuk menggalas tanggungjawab negara di Olimpik Paris.

“Ramai meragui mengenai kemampuannya untuk kembali pada tahap prestasi terbaik tetapi kami tidak pernah meraguinya. Saya harap seluruh rakyat Malaysia akan terus berada di belakang atlet negara dalam misi untuk ke Paris.

“Bukan mudah untuk menjadi Olimpian dan lebih sukar bagi memenangi pingat. Jadi, teruskan berada di belakang mereka kerana mereka memberikan semuanya untuk anda,” katanya.-Harian Metro