Peluang terakhir Pandelela ke Paris

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong diharap akan kembali bangkit dalam misi untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Semalam, Pandelela terlepas tiket ke Paris dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu wanita apabila gagal melangkah ke separuh akhir Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu gagal mempamerkan prestasi terbaiknya apabila sekadar menamatkan saingan kelayakan di kedudukan ke-29 daripada 46 peserta dengan hanya mengumpul keseluruhan 231.15 mata dalam lima terjunan.

Pandelela bagaimanapun mempunyai satu lagi peluang untuk membuat penampilan di Paris apabila dia turun beraksi dalam acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri, esok.

Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas mengakui Pandelela gagal menemui rentak terjunannya yang menjadi punca dia ‘tenggelam’ selepas cemerlang dalam terjunan pertama apabila mengutip 72 mata.

“Nampak dia tidak menemui rentak ‘rotation’ dia. Terjunan pertama sangat baik tetapi terjunan kedua dia hilang kawalan manakala terjunan terakhir pula memang tidak disangka (hanya mengutip 22.40 mata).

“Jadi, saya harap dia kembali fokus dan bangkit untuk acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah kerana ia adalah peluang terakhir untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris,” kata Bryan kepada BH Sukan.

Pandelela-Dhabitah perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik bagi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris.-Berita harian