Pandelela terlepas tiket Olimpik

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi acara 10 meter (m) platform individu wanita selepas terkandas di pusingan kelayakan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, hari ini.

Pandelela yang memenangi pingat gangsa Olimpik Rio 2016 dalam acara itu gagal mempamerkan prestasi terbaiknya apabila mengakhiri saingan di kedudukan ke-29 daripada 46 peserta dengan hanya mengumpul keseluruhan 231.15 mata dalam lima terjunan.

Pada aksi berlangsung di Pusat Akuatik Hamad itu, Pandelela bermula baik apabila menyaksikan dia mengutip 72 mata pada terjunan pertama untuk berkongsi kedudukan ketiga.

Bagaimanapun, dia gagal mengekalkan momentum itu dan mula bergelut dengan prestasi tidak menentu memasuki terjunan kedua apabila hanya mengutip 39.15 mata diikuti 59.20 mata (ketiga), 38.40 mata (keempat) dan 22.40 mata (kelima) untuk berada di kedudukan ke-29 sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.

Seperti diramal, juara dunia yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari China, Chen Yuxi mendominasi saingan pusingan kelayakan hari ini apabila mengumpul keseluruhan 435.20 mata diikuti rakan senegaranya, Quan Hongchan kedua (399.30 mata) manakala atlet Great Britain, Andrea Spendolini-Sirieix ketiga (344.00 mata).

Hanya 18 penerjun terbaik daripada pusingan kelayakan mara ke separuh akhir manakala hanya 12 penerjun terbaik daripada kejohanan kali ini, tidak termasuk yang sudah melayakkan diri (15) layak ke Olimpik Paris.

Di sebalik pencapaian kurang memberangsangkan itu, Pandelela bagaimanapun mempunyai satu lagi peluang untuk membuat penampilan di Paris apabila dia turun beraksi dalam acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri pada Selasa ini.

Pandelela-Dhabitah perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik bagi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris.

Sementara itu, penerjun muda negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj yang turut beraksi dalam pusingan kelayakan acara 10m platform individu wanita hari ini mengakhiri saingan di kedudukan ke-44 dengan 167.55 mata.-Berita Harian