Pandelela-Nur Dhabitah perlu ‘seirama’ untuk ke Paris

KUALA LUMPUR, 5 Feb: Setelah terlepas peluang acara individu, ratu terjun negara Dato Pandelela Rinong diharap bangkit memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam satu lagi acara iaitu 10 meter (m) platform seirama.

Ia merupakan peluang terakhir Pandelela untuk layak ke temasya berprestij dunia itu bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, esok.

Pengarah teknikal skuad terjun negara Bryan Nickson Lomas berkata beliau menaruh harapan gandingan berpengalaman Pandelela, 30, dan Nur Dhabitah, 24, mampu merealisasikan peluang terakhir untuk ke Paris kali ini.

Pandelela dan Nur Dhabitah perlu berada dalam kelompok empat terbaik, setelah penerjun dari Perancis, China, Great Britain dan Amerika Syarikat telah mendapatkan empat lagi tiket ke Paris pada kejohanan sebelumnya.

“Banyak perkara tidak berjalan seperti yang dirancang untuk Pandelela dalam acara individu semalam walaupun dia bermula dengan baik dengan terjunan pertama. Saya fikir dia tidak mendapat rentak yang baik dalam beberapa terjunan.

“Bagaimanapun, dia mempunyai satu lagi peluang bersama Dhabitah, harap mereka boleh layak. Saya pasti sebagai penerjun senior, Pandelela akan menyesuaikan diri dan fokus untuk acara seterusnya,” kata bekas pemenang pingat Sukan Asia dan Komanwel itu kepada Bernama.

Bagaimanapun, Bryan mengakui ia menjadi tugas berat buat gandingan negara itu terutama selepas Nur Dhabitah mengalami kecederaan sebelum tiba di Doha.

“Kita mahu mengejar tempat di Olimpik. Ia akan menjadi sukar tetapi kami akan berjuang untuk itu,” katanya.

Semalam, Pandelela terlepas tiket ke Paris dalam acara kegemarannya 10m platform individu selepas menamatkan saingan di tempat ke-29 dengan mengumpul 231.15 mata, sekali gus gagal ke separuh akhir.

Seorang lagi wakil negara Nur Eilisha Rania Abrar Raj menamatkan saingan di tempat ke-44 daripada 46 peserta dengan mengumpul 167.55 mata.

Hanya 18 penerjun layak ke peringkat separuh akhir, untuk merebut 12 tiket Olimpik yang ditawarkan di Doha. Sebanyak 12 penerjun terbaik dari Kejohanan Dunia Fukuoka 2023 telah layak ke Paris.

Pandelela yang meraih pingat gangsa 10m platform di Sukan Olimpik London 2012 dan acara seirama bersama Cheong Jun Hoong pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, berharap dapat membuat penampilan kelimanya sejak penampilan sulung pada edisi 2008 di Beijing, China. – TVS