Masalah kesihatan paksa Azizulhasni tarik diri

KUALA LUMPUR – Hasrat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk meraih emas berganda pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia tidak tertunai selepas tersingkir di separuh akhir dalam acara pecut hari ini.

Selain itu, dia juga tidak mengambil bahagian dalam acara penentuan pingat gangsa selepas dinasihatkan doktor untuk menarik diri kerana mengalami gejala perikarditis sebaik aksi separuh akhir tamat.

“Dukacita dimaklumkan bahawa saya terpaksa menarik diri daripada perlumbaan penentuan gangsa pecut kerana mengalami gejala perikarditis selepas perlumbaan separuh akhir. Saya berunding dengan doktor dan dinasihatkan untuk menarik diri daripada perlumbaan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan tekanan jantung saya.

“Di sebalik cabaran, ia adalah hari yang produktif selepas perlumbaan keirin semalam dan saya memberikan yang terbaik dalam pecut hari ini. Terima kasih atas sokongan serta keprihatinan semua orang, saya memohon maaf kerana tidak dapat menamatkan saingan.

“Tumpuan saya sekarang adalah pada pemulihan dan saya akan menyambung semula latihan sebaik sahaja cergas sepenuhnya. Terima kasih semua atas pemahaman dan dorongan anda,” kata Azizulhasni menerusi status yang dimuat naik di laman sosial.

Pada aksi pecut yang berlangsung di Adelaide Super-Drome itu, Azizulhasni menamatkan perlumbaan pusingan pertama di kedudukan keempat terpantas dengan catatan 9.656 saat (s) sebelum mengetepikan Cristian Ortega di pusingan kedua.

Kemudian, pelumba yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu menewaskan jaguh Great Britain, Jack Carlin 2-0 di suku akhir, namun terpaksa akur dengan kehebatan pelumba Australia, Matthew Richardson apabila tewas 0-2 di separuh akhir.

Meskipun tidak meraih sebarang pingat dalam acara pecut, namun emas yang dimenangi menerusi keirin semalam sudah membuktikan bahawa Azizulhasni masih digeruni di peringkat antarabangsa biarpun sedang dihimpit masalah kesihatan berkait jantungnya. – KOSMO! ONLINE