Impian Tang Jie-Ee Wei disekat Dechapol-Sapsiree

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terlepas gelaran ketiga Jelajah Dunia BWF apabila tewas pada aksi final Masters Thailand, hari ini.

Tampil sebagai pilihan kedua, Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur dengan kehebatan pilihan pertama yang juga wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai apabila tewas 12-21, 18-21 di Stadium Nimibutr di Bangkok.

Tang Jie-Ee Wei yang juga pasangan nombor sembilan dunia sering melakukan kesilapan mudah sehingga memberi mata percuma kepada lawan terutamanya di set pertama.

Hasrat mereka untuk bangkit di set kedua dilihat mempunyai sedikit sinar namun Dechapol-Sapsiree ternyata ‘kebal’ untuk ditumbangkan terutama dengan sokongan padu peminat sendiri.

Selaku juara, Dechapol-Sapsiree yang juga beregu nombor enam dunia membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM78,263) manakala Tang Jie-Ee Wei meraih AS$7,980 (RM37,645).

Sebelum ini, Tang Jie-Ee Wei sudah dua kali merangkul gelaran Jelajah Dunia BWF iaitu di Masters Orleans di Perancis dan Terbuka Taiwan, tahun lalu.

Bagaimanapun, pencapaian final kali ini adalah yang terbaik buat pasangan negara itu musim ini selepas tewas di pusingan kedua dalam tiga kejohanan awal – Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia.

Sementara itu, saingan beregu wanita turut didominasi pasangan Thailand menerusi gandingan Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard yang menumbangkan wakil China, Li Yi Jing-Luo Xu Min 21-13, 17-21, 27-25.

Kejayaan dua wakil berkenaan mengubat kedukaan aksi beregu lelaki, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul yang kalah kepada pilihan kelima dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 21-16, 14-21, 13-21.

Hasrat peminat tuan rumah untuk menyaksikan perseorangan wanita turut bergelar juara tidak kesampaian apabila Supanida Katethong tewas kepada pemain berpengalaman Jepun, Aya Ohori 21-18, 17-21, 13-21.

Dalam aksi perseorangan lelaki Chou Tien Chen dari Taiwan berjaya menghalang wakil Singapura, Loh Kean Yew untuk muncul juara selepas menang 21-16, 6-21, 21-16.-Berita Harian