Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 2, 2024

KBS mohon RM3.9 juta untuk skuad hoki 5s

SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM3.9 juta kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi program pembangunan skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki dan wanita negara.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu turut merangkumi persiapan skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Dunia Hoki 5s pada edisi 2028.

“Kita perlu buat persiapan bermula dari sekarang dan kita akan berikan segala yang diperlukan mereka untuk menghadapi saingan yang dijangka lebih mencabar pada empat tahun akan datang.

“Jadi, KBS bersama MSN (Majlis Sukan Negara) sudah menghantar satu bajet kepada MOF semalam dan sedang menunggu kelulusan.

“Ini adalah bajet tambahan yang kita hantar, tiada dalam perancangan sebab pasukan baharu, sebab itu MOF akan kira dan maklum.

“Saya sudah memberi taklimat ringkas kepada jemaah menteri mengenai pencapaian skuad hoki 5s negara dan ini adalah pencapaian tertinggi bagi sukan hoki Malaysia.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga ucap tahniah kepada pasukan, saya yakin kerajaan akan beri sokongan,” kata Hannah ketika ditemui selepas menyambut kepulangan skuad hoki lelaki negara yang muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Skuad negara yang dibimbing Wallace Tan terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas 5-2 di tangan Belanda pada aksi final kejohanan yang berlangsung di Muscat, Oman, awal pagi semalam.

Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan pasukan itu akan menerima insentif menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM80,000 susulan pencapaian di Muscat.

Katanya, KBS turut akan membuat pembayaran semula perbelanjaan yang dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi kempen Piala Dunia 5s kali ini.-Berita Harian

WELCOME HOME HEROES!

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan hadir menyambut ketibaan Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan di KLIA selepas menamatkan kempen Kejohanan FIH Hoki 5s Piala Dunia 2024 di Oman.

Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan mencipta sejarah di Muscat, Oman dengan merangkul naib juara di edisi sulung penganjuran kejohanan tersebut.

Turut hadir sama, YBrs Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN dan YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Sukan MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia