Beasley tak berani ambil risiko benarkan Shah sertai keirin

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kemungkinan besar hanya akan beraksi dalam acara pecut individu pada saingan Piala Negara-Negara di Adelaide yang bermula Jumaat ini.

Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley, berkata dia tidak mahu mengambil risiko untuk membenarkan Shah Firdaus turut menyertai saingan keirin dengan dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami ketika terbabit kemalangan ketika sesi latihan, minggu lalu.

Susulan kemalangan berintensiti tinggi itu, Shah Firdaus mengalami lebam, luka melecet dan buku lali bengkak.

Justeru, dia kemungkinan hanya diturunkan dalam acara pecut individu lelaki bersama Fadhil Zonis.

“Kami perlu melihat sama ada dia cukup sihat untuk memulakan (pecut individu) di sini, walaupun dia sebenarnya okey, tapi dia tidak berada tahap terbaik,” kata Beasley.

“Saya tidak akan mengambil risiko menyenaraikan Shah dalam keirin kerana kulitnya masih belum sembuh sepenuhnya (luka melecet).

“Kita tak dapat menjangka kerana dalam perlumbaan keirin juga mungkin boleh berlaku kemalangan kerana pelumba akan berada dalam keadaan tersedak mengumpul mata kelayakan Olimpik.

“Saya tidak mahu dia mengambil risiko terlepas Kejohanan Asia New Delhi yang begitu hampir (21 hingga 26 Februari),” katanya.

Sementara itu Beasley menjelaskan Azizulhasni yang menghidap perikarditis sejak beberapa minggu lalu hanya akan beraksi dalam keirin di Adelaide bersama Fadhil.

Manakala pelumba wanita, Anis Amira Rosidi, Izzah Izati Asri dan Aliana Syafika Azizan akan bersaing dalam acara pecut berpasukan wanita di Adelaide.

Anis dan Izzah juga akan bersaing dalam acara pecut dan keirin individu wanita.-Berita Harian