BATC: Laluan Malaysia mudah

PETALING JAYA: Laluan Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 pada Februari ini dilihat selesa untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

Skuad lelaki selaku juara bertahan dan selaku pilihan keempat kejohanan mengetuai Kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan serta Brunei.

Sementara, pasukan wanita dalam Kumpulan Y dijangka berdepan cabaran apabila diundi bersama-sama pilihan ketiga, Thailand selain Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Malah, selepas undian berakhir, semalam, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky turut menyuarakan keyakinannya tentang peluang skuad kebangsaan untuk mara ke suku akhir.

“Sudah pasti kita akan layak ke suku akhir kerana inilah undian yang telah diputuskan, baik pasukan lelaki dan wanita, kami akan ke suku akhir,” katanya.

Menurut Rexy, pemain negara perlu bekerja keras untuk memberikan yang terbaik pada BATC dan tidak lagi menghampakan peminat selepas persembahan mengecewakan pada Terbuka Malaysia, awal bulan ini.

Jelasnya, persediaan skuad kebangsaan berjalan dengan lancar dan hanya penarikan diri Justin Hoh akibat kecederaan yang memaksa barisan kejurulatihan menukar pemain perseorangan pada saat akhir.

“Ketiadaan Justin (yang ditimpa kecederaan lutut kanan), kita kembali menyenaraikan Leong Jun Hao dan selebihnya kita menurunkan barisan terkuat dengan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong menjadi petaruhan kita dalam perseorangan lelaki,” ujarnya.

Mengulas mengenai skuad wanita, Rexy memberitahu, berdepan Thailand memang sukar buat Malaysia dan harapan diletakkan kepada beregu, Pearly Tan-M. Thinaah untuk meraih mata.

“Untuk Pearly-Thinaah saya berharap mereka dapat membantu skuad negara mengutip mata, manakala, beregu kedua pula, peluang kita 50-50,” tambahnya.

Beliau menegaskan, untuk edisi kali ini jauh berbeza suasananya dengan BATC dua tahun lalu, kerana rata-rata negara peserta mahu memburu slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dan walaupun China tidak turunkan semua pemain utama tetapi Korea Selatan menyenaraikan semua pemain pilihan.

Katanya, memandangkan tidak banyak kejohanan yang tinggal sebelum tarikh akhir pada penghujung April ini, para pemain mahu memanfaatkan penampilan mereka pada BATC untuk mengutip mata Olimpik. – UTUSAN