Tolong berkorban demi Olimpik – Chong Wei

Kuala Lumpur: Berkorban dan beri tumpuan sepenuhnya dalam tempoh enam bulan terakhir sebelum bermulanya temasya Sukan Olimpik Tokyo.

Demikian ingatan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada barisan pemain negara menjelang temasya sukan terbesar dunia itu yang bermula 26 Julai depan.

Pengurus pasukan badminton Road to Gold (RTG) itu menegaskan, tempoh itu cukup penting kepada barisan pemain negara dalam usaha untuk memenuhi impian seluruh rakyat Malaysia, iaitu memenangi pingat emas pertama di Olimpik.

Teguran Chong Wei itu selepas menyaksikan barisan pemain negara ‘layu’ dalam tiga kejohanan awal tahun ini, iaitu di Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia, apabila rata-rata mereka kandas awal.

“Saya harap pemain boleh berkorban untuk tempoh beberapa bulan ini, kempen kelayakan (ke Olimpik) juga masih ada kira-kira empat bulan. Harap mereka dapat bangkit daripada tiga kejohanan lalu dan fikirkan semula mengapa mereka tak dapat beraksi dengan baik.

“Selepas Terbuka Malaysia, saya sudah komen (pemain) bukan tak boleh bercuti, boleh, tapi kena tengok pada masa. Ada yang marah saya kerana teguran itu tetapi ia berdasarkan kepada pengalaman karier saya sepanjang 19 tahun di BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Kita boleh bercuti tapi kena tengok masa kerana tahun ini ada Olimpik.

“Selepas anda menang (emas) Olimpik, anda mahu cuti satu tahun pun boleh. Ini (memenangi emas) adalah impian untuk diri sendiri dan juga rakyat Malaysia sebab kita tak pernah lagi menang emas pertama (di Olimpik).

“Pengorbanan untuk berlatih, berehat dan bersama keluarga selama enam bulan ini amat penting. Saya tahu keluarga sangat penting tapi pihak keluarga juga perlu faham tempoh ini adalah detik paling penting untuk pemain itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), semalam.

Jelas Chong Wei, tempoh kemuncak seseorang atlet itu sangat singkat dan sementara mereka boleh beraksi pada tahap tertinggi, maka peluang itu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Masa emas atlet terlalu singkat, mungkin hanya 10 atau 12 tahun saja. Mungkin anda boleh beraksi pada Olimpik kali ini tetapi tidak untuk Olimpik seterusnya. Mungkin juga anda dapat beraksi dua Olimpik berturut-turut tetapi tidak untuk Olimpik ketiga,” katanya.-Harian Metro