Aidil kenalpasti kelemahan sebelum Masters Thailand

KUALA LUMPUR: Kejohanan Masters Thailand yang membuka tirainya Selasa ini bakal menjadi cabaran sulung bagi kempen 2024 buat pemain perseorangan lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Pemain diranking ke-90 dunia itu jelas mengharapkan pembukaan tirai musim cemerlang buat dirinya dikala dia terlebih dahulu perlu melepasi pusingan kelayakan pertama ke atas lawan dari Hong Kong, Chan Yin Chak.

Pertembungan itu bakal menjadi yang pertama buat mereka berdua selepas kali terakhir kemenangan memihak kepada Aidil di pusingan kelayakan Terbuka Macau 2019 namun ia tidak lagi boleh dijadikan ukuran memandangkan lawannya itu sudah berada diranking lebih tinggi daripadanya, ke-72 dunia pada ketika ini.

Justeru itu, pemain berusia 24 tahun itu perlu pantas memperbaiki kelemahan yang sudah dikenalpasti antaranya daripada sudut keyakinan serta mentaliti terutama ketika berada dalam gelanggang.

“Saya kurang dari segi taktikal dan juga mentaliti. Fizikal dan yang lain itu, semua boleh dikatakan OK tetapi mentaliti, keberanian itu agak kurang konsisten. Saya tak pasti kenapa, tetapi ia kerap berlaku dan sukar untuk dikawal.

“Apapun, saya sudah berusaha terutama dalam latihan supaya lebih fokus dan memperkemaskan lagi daya tumpuan ketika melakukan pukulan,” katanya yang meletak sasaran untuk berada dalam saingan pusingan utama di Thailand nanti.

“Saya bersyukur kerana masih boleh berada dalam ini (kem negara). Sasaran saya (untuk musim 2024) nak lebih baik dalam setiap kejohanan disertai… kalau boleh meraih keputusan yang baik dan boleh memenangi kejohanan supaya dapat menaikkan ranking saya dan seterusnya menyertai kejohanan yang lebih tinggi,” katanya.

Pada musim lalu, Aidil berdepan kempen berliku dengan pencapaian terbaiknya memenangi Cabaran Antarabangsa Indonesia di Surabaya selepas menewaskan pemain Jepun, Keita Makino 21-14, 21-6.- Berita Harian