Wei Chong-Kai Wun benam beregu Denmark

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak berdepan masalah untuk memulakan aksi di Masters Indonesia dengan langkah kanan selepas mara ke pusingan kedua selepas menumbangkan gandingan Denmark, Andreas Sondergaard-Jesper Toft di Istora Senayan, Jakarta.

Bagaimanapun, mereka diberikan tentangan sengit sehingga tumpas set pertama di tangan beregu 51 dunia itu, sebelum bangkit memperkemaskan rentak dan mencatat kemenangan 17-21, 21-10, 21-14.

Wei Chong-Kai Wun yang sekarang ini menghuni ranking ke-19 dunia akan berdepan pasangan tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menewaskan beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-14, 21-14 di pusingan kedua.

Dalam dua aksi sebelum ini di Terbuka Malaysia dan India, Wei Chong-Kai Wun terkandas di pusingan pertama dan mengharapkan mampu bangkit untuk saingan bertaraf Super 500.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berjaya mara ke undian utama selepas mengharungi dua aksi kelayakan hari ini.

Jun Hao memulakan pemburuan slot ke pusingan pertama Masters Indonesia dengan mengetepikan pemain Singapura, Jason Teh 21-12, 21-19 sebelum mengalahkan wakil Brazil, Ygor Coelho 15-21, 22-20, 21-16.

Menantinya di pusingan pertama esok ialah perseorangan lelaki Jepun, Kenta Nishimoto dengan rekod pertemuan terdahulu menyaksikan mereka terikat 1-1. Kedua-dua perlawanan membabitkan aksi peringkat kumpulan Piala Thomas 2020 dan 2022.-Harian Metro