Tempat Tze Yong ke BATC belum terjamin

PETALING JAYA: Status sama ada pemain perseorangan lelaki kedua negara, Ng Tze Yong bakal menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 atau tidak masih belum diputuskan.

Ketika ini, Tze Yong sedang menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan koyak pada otot belakang dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.

Situasi berkenaan bukan saja memaksa pemain berusia 23 tahun itu menarik diri daripada menyertai India Open 2024, malah, status penyertaannya di Indonesia Masters 2024 yang bakal berlangsung pada penghujung bulan ini juga masih belum disahkan.

Dengan tarikh akhir pendaftaran pemain-pemain BATC ialah 26 Januari ini, tidak banyak masa yang ada buat BAM untuk membuat keputusan.

“Saya fikir masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang keputusan, saya rasa lebih elok kita beri masa kepada Tze Yong dan pengarah kejurulatihan, mana tahu (dia akan disenaraikan),”

“Sebab kejohanan ini (BATC) bulan depan kan Jadi, mungkin ada masa, tapi masih terlalu awal (untuk sebarang keputusan),” kata Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.

Setakat ini hanya perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sahaja dikatakan akan membarisi skuad Malaysia, manakala baki dua lagi slot perseorangan lelaki dan tiga beregu lelaki serta skuad wanita juga masih belum diputuskan.

Kuota untuk beregu lelaki hampir pasti menjadi milik Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun tatkala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menjelaskan mereka tidak menyertai kejohanan kali ini.

Kejohanan ini bukan sahaja menawarkan mata ranking untuk ke Sukan Olimpik Paris namun dalam masa yang sama ia juga akan menjadi medan kelayakan untuk ke Piala Thomas/Uber yang akan berlangsung di Chengdu, China pada 28 April ini.-UTUSAN