Pengganti Chris tak lama lagi

Kuala Lumpur: Penantian seorang lagi jurulatih antarabangsa baharu yang diperlukan untuk membimbing pasukan renang negara dalam Program Podium dan pelapis kebangsaan dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Setiausaha Kehormat Renang Malaysia, Andy Low Siak San berkata, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) kini selesai melakukan proses pemilihan calon akhir bagi mengisi kekosongan jawatan Chris Martin yang tamat kontrak bulan lalu.

“Kami menetapkan calon akhir, namun buat masa ini hanya perlu menanti pengesahan dokumen daripada Jabatan Imigresen. Selepas semua proses selesai, jurulatih baharu itu hanya perlu menandatangani kontrak dan seterusnya kami boleh mendedahkannya secara rasmi kepada umum,” katanya.

Menurutnya, jurulatih baharu yang diimport dari Kanada itu dijangka tiba di Malaysia antara hujung Februari atau pada pertengahan Mac depan.

Menurut Andy, situasi ketiadaan jurulatih tidak memberikan impak kepada prestasi atlet kerana mereka terus menjalankan program dan latihan seperti biasa.

“Semua masih berjalan lancar di bawah bimbingan dua lagi jurulatih dengan seorang jurulatih tempatan dan seorang jurulatih dari China yang mengambil alih buat masa ini.

“Proses pemilihan jurulatih baharu ini berjalan tanpa gangguan dan saya yakin kehadiran jurulatih ini memberi impak lebih baik kepada prestasi atlet kita,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Teknikal (Terjun) MAS, Bryan Nickson Lomas berkata, seorang jurulatih antarabangsa diperlukan untuk membimbing atlet dalam Program Podium dan pelapis kebangsaan.

Untuk rekod, MAS menerima lebih 20 permohonan bagi jawatan ketua jurulatih dan pengarah teknikal bagi kem renang sejak ia diiklankan di laman web Akuatik Dunia (WA).-Harian Metro