Perbaiki kecergasan Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Sudut kecergasan fizikal menjadi elemen yang akan ditambahbaik oleh pengendali skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj selepas menamatkan kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Oman dengan berada di kedudukan kelima keseluruhan.

Skuad Speedy Tigers yang sudah terlepas peluang ke Sukan Olimpik Paris 2024, menewaskan Kanada 3-1 dalam penentuan shoot-out selepas terikat tanpa jaringan pada aksi sebenar penentuan tempat kelima dan keenam, dilihat perlu mempertingkatkan kecergasan fizikal selain beberapa faktor lain.

Selain itu, Arul secara peribadi menyifatkan anak buahnya mempunyai peratusan peluang yang lebih besar berbanding lawan di Oman namun tidak berupaya untuk menjelmakan sentuhan penyudah sempurna dan ia menghukum pasukan.

“Ini pandangan peribadi saya dari segi hoki, kejurulatihan dan pasukan. Di kejohanan ini, apabila tengok statistik kita, ‘circle entry’ kita, peluang yang dicipta semuanya lebih tinggi berbanding pasukan lawan.

“Namun kita tak dapat menang disebabkan sentuhan penyudah kita tak dapat dilaksanakan dengan lebih teliti ataupun ‘decision making; dalam ‘circle opponent’ tak dilakukan dengan baik.

“Manakala dalam kotak D, kita punya ‘low body position’ tak mencukupi selain kemahuan untuk menang bola 50-50 dan menyebabkan pihak lawan dapat melakukan jaringan.

“Namun secara keseluruhan, kita kena perbaiki dua tiga perkara… salah satunya kecergasan fizikal, kita akan menyambung latihan dan di masa depan kita akan dapat sesuatu kejayaan.

“Kepada peminat Malaysia, bagi pihak pasukan kita ingin menyuarakan rasa kecewa kami tetapi berharap peminat hoki tanahair meneruskan sokongan kepada hoki kerana saya pasti kita akan melalui fasa seperti ini. Namun pada satu hari nanti, (dengan) kerja yang betul dan proses pembangunan yang baik, pastinya kita akan mencapai kejayaan,” katanya.

Pada perlawanan terakhir menentang Kanada, gol kemenangan Speedy Tigers menerusi ‘shoot-out’ dijaringkan Firhan Ashari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Perlawanan turut menyaksikan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.-Berita Harian