‘Terima hakikat, itu sahaja tahap Harimau Malaya’

DOHA: Kekalahan kepada Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E saingan Piala Asia di Stadium Jassim bin Hamad, malam tadi amat menyakitkan semua pihak terutama skuad Harimau Malaya dan seluruh penyokong.

Apa tidaknya, kekalahan itu hadir menerusi jaringan Ali Madan pada masa kecederaan selepas barisan pemain Harimau Malaya bertungkus lumus cuba mempertahankan pintu gol skuad negara.

Namun, apa lagi yang boleh diperkatakan selain perlu menerima hakikat bahawa perjuangan skuad bimbingan Kim Pan Gon di Qatar terhenti di peringkat kumpulan.

DISYORKAN UNTUK ANDA
Gol lewat Bahrain ‘membunuh’ kami
Ini salah saya – Pan Gon
Ali Madan musnah harapan Harimau Malaya
Ultras Malaya mula ‘takluk’ Stadium Al Janoub
Penyokong Harimau Malaya ‘gegar’ Doha
FAM tunai impian Ridzwan di Qatar
Harimau Malaya terikat tanpa jaringan separuh masa pertama
Individu ‘kacau’ penyokong Harimau Malaya

Malah, paling utama semua pihak juga harus menerima hakikat bahawa itu sahaja tahap kualiti yang ada pada skuad Harimau Malaya yang mana layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama selepas 43 tahun.

Pan Gon sendiri mengakui bahawa dia harus menerima di mana tahap sebenar pasukannya sekarang ini selain memahami kesukaran pemain untuk bersaing di pentas tertinggi Asia buat kali pertama.

Jika melihat kepada statistik perlawanan dengan Bahrain, Harimau Malaya memiliki 34 peratus sahaja dari segi penguasaan bola dan melakukan empat percubaan dengan hanya satu percubaan tepat.

Ia jauh berbeza dengan Bahrain yang mempunyai 66 peratus penguasaan bola selain 13 percubaan termasuk tiga percubaan tepat.

Justeru, pasukan Bahrain sememangnya berhak memenangi perlawanan itu walaupun tidak dinafikan barisan pemain Harimau Malaya sudah memberikan segala-galanya yang mereka mampu sepanjang 90 minit.

Kekurangan pengalaman beraksi dalam kejohanan besar seperti Piala Asia dilihat membentuk jurang kualiti persembahan antara Harimau Malaya dengan pasukan lain terutama yang berada di ranking lebih tinggi.

Meskipun pernah berdepan pasukan ranking lebih tinggi dalam aksi persahabatan sebelum ini, namun harus diingat ia adalah dua pentas berbeza dan segala aspek lain termasuk dari segi tekanan juga tidak sama.

Kesilapannya adalah apabila ada yang meletakkan harapan terlampau tinggi atau tidak realistik dengan tahap kualiti sebenar Harimau Malaya. -Berita Harian