Speedy Tigers kelima kelayakan Olimpik

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan menamatkan kempen kelayakan Olimpik di kedudukan kelima selepas mengatasi Kanada 3-1 menerusi penentuan penalti pada perlawanan klasifikasi tempat kelima-keenam, hari ini.

Terdahulu, skuad negara yang dikenali sebagai Speedy Tigers terikat tanpa jaringan menentang pasukan ranking ke-18 dunia itu di Stadium Oman, Muscat.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti dengan Muhammad Firhan Ashari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal berjaya melengkapkan percubaan mereka buat Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia.

Kanada hanya Floris van Son berjaya menemui sasaran manakala Brenden Bisset dan Balraj Panesar terlepas peluang.

Skuad Speedy Tigers gagal layak ke Olimpik Paris 2024, yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A kejohanan kelayakan itu di kedudukan tercorot dengan satu mata, di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan (9 mata), Pakistan (4 mata) dan China (3 mata).

Skuad kendalian A Arul Selvaraj membuka tirai kempen di Oman dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada China Isnin lalu dan kemudian tewas 1-4 berdepan Great Britain pada Selasa serta terikat 3-3 menentang Pakistan pada awal pagi Jumaat.

Hanya tiga pasukan terbaik dalam kempen kelayakan di Oman akan melayakkan diri ke Paris 2024.

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia. – BERNAMA