Malaysian Tigress tak pulang tangan kosong

KUALA LUMPUR: Mengakhiri kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Valencia, Sepanyol dengan berada di tangga tercorot bukan bererti Malaysia pulang ‘tangan kosong’ sebaliknya, ia dilihat sebagai satu pengalaman berharga buat pasukan wanita negara.

Bagi pengendali pasukan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, pasukan Malaysian Tigress kali ini turut dibarisi pemain muda dan ia dilihat sebagai satu pendedahan dan pengalaman baharu buat mereka untuk terus memberikan yang terbaik pada masa hadapan.

“Secara keseluruhan, ini pasukan muda dan kami tak banyak diberikan pendedahan seperti bermain dengan pasukan dari Eropah. Saya rasa ini pendedahan yang sangat bagus.

“Kita boleh ambil (keputusan ini) secara positif dan kita juga dapat tahu di mana harus diperkuatkan lagi pasukan ini. Mereka (pemain) juga percaya, dengan latihan yang akan datang, kita akan lebih maju dan bagus dalam sukan hoki,” kata Nasihin.

Pasukan negara menutup tirai kelayakan di Valencia dengan berada di tangga kelapan daripada lapan pasukan keseluruhan selepas tewas dalam kesemua aksi Kumpulan B sebelum kecundang di tangan Ukraine 1-2 di penentuan tempat ketujuh dan kelapan.

Daripada kejohanan di Valencia itu, slot kelayakan ke Paris 2024 yang dijadual berlangsung pada Julai ini diraih Belgium, Sepanyol dan Great Britain.

Mengulas mengenai aksi terakhir bertemu Ukraine, Nasihin merumuskan yang pemain sudah memberikan yang terbaik dan beberapa kesilapan ketika perlawanan menghukum pasukan.

“Agak kecewa kerana tewas di tangan Ukraine. Namun begitu, saya rasa pemain sudah berikan yang terbaik. Kita mempunyai beberapa peluang tetapi pemain tidak begitu yakin.

“Apapun, pemain muda sudah menimba pengalaman berharga apabila bertanding di kelayakan Olimpik ini. Ini satu pengalaman berharga yang kita harus percaya dan bersabar untuk pasukan maju ke hadapan lagi selepas ini.

“Kita mempunyai beberapa peluang pukulan sudut penalti tetapi tak menjadi kerana pertahanan lawan yang bagus. Di separuh masa kedua, kita mempunyai peluang yang hampir sama, tetapi beberapa kesilapan individu menyebabkan mereka menjaringkan gol. Namun sebagai pasukan, kita terimanya secara bersama,” kata Nasihin.-Berita Harian