Speedy Tigers lepas geram belasah Chile

KUALA LUMPUR: Selepas gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, skuad hoki lelaki negara menjadikan Chile sebagai mangsa untuk melepaskan geram apabila membelasah pasukan itu 5-0 dalam aksi klasifikasi kelima hingga kelapan pusingan kelayakan di Muscat, Oman, sebentar tadi.

Skuad Speedy Tigers bagaimanapun perlu menunggu sehingga babak kedua perlawanan bagi menjaringkan gol pertama menerusi Muhammad Razie Abd Rahim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-32.

Dua minit kemudian, Mohamad Ashran Hamsani meletakkan Malaysia selesa di depan hasil gol padang yang dijaringkannya sebelum Muhammad Marhan Mohd Jalil menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-41 untuk gol ketiga pasukan.

Malaysia semakin garang selepas itu apabila Norsyafiq Sumantri menjaringkan gol keempat buat pasukan pada minit ke-48 sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal melengkapkan kemenangan skuad negara dengan gol kelima menerusi penalti stroke yang diperoleh pada minit ke-60.

Skuad negara seterusnya akan berdepan Kanada bagi penentuan tempat kelima dan keenam, esok.

Di Valencia, Sepanyol, skuad wanita terpaksa akur apabila mengakhiri kempen pusingan kelayakan Sukan Olimpik di tempat tercorot apabila tewas 1-2 di tangan Ukraine pada aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad wanita pulang tanpa sebarang kemenangan apabila tewas semua tiga perlawanan peringkat Kumpulan B di tangan Sepanyol, Kanada dan Great Britain selain tewas kepada Korea Selatan pada aksi klasifikasi kelima hingga kelapan.-Berita Harian