‘Harimau Malaya ada keupayaan atasi Bahrain’

DOHA: Tonggak pertahanan skuad kebangsaan, Shahrul Saad terus menaruh keyakinan bahawa Harimau Malaya memiliki keupayaan untuk mengatasi pasukan tangga ke-86 dunia, Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad, esok.

Pemain berusia 30 tahun itu menjelaskan aksi kedua Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 itu adalah perlawanan hidup mati buat Harimau Malaya untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir.

“Perlawanan esok sangat penting dan kami akan berikan segala-galanya. Ia sudah pasti perlawanan yang sukar, tetapi saya percaya kami boleh berikan sesuatu termasuk menjaringkan gol awal.

“Ini perlawanan kalah mati buat kami, kami akan buat apa sahaja yang kami ada untuk dapat tiga mata. Jadi, kami harus beraksi pada tahap terbaik dan tidak memberi ruang kepada mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Aksi Malaysia dan Bahrain dijangka sengit dengan kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan selepas tewas pada aksi pertama, Selasa lalu.

Berdasarkan rekod pertemuan, ia jelas memihak kepada Bahrain yang mana kali terakhir mereka tewas kepada Malaysia adalah pada 46 tahun lalu.

Sementara itu, pemain sayap Bahrain, Ali Madan menyifatkan rekod pertemuan lalu tidak menjamin pasukannya bakal berdepan tugas mudah menentang Malaysia.

Katanya, apa yang menjadi fokus utama pasukannya ketika ini adalah meraih kemenangan ke atas Malaysia tanpa memikirkan mengenai sasaran jumlah jaringan.

“Semua pemain harus fokus untuk dapatkan tiga mata. Malaysia juga idamkan tiga mata, jadi kami berharap kami lebih bertuah untuk meraih kemenangan.

“Selepas melakukan analisis mengenai pasukan Malaysia, mereka memiliki pemain yang bagus, pantas dan mereka mendapat pengajaran yang berguna selepas aksi berdepan Jordan,” katanya.-Berita Harian