Atlet profesional boleh mohon dana KWASN

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi perkhabaran gembira kepada atlet profesional negara apabila mereka kini boleh memohon bantuan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menampung kos penyertaan di kejohanan bertaraf antarabangsa.

Menurut Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran, KWASN adalah geran khusus yang ditawarkan bagi menganjurkan program dan aktiviti berkaitan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk penyertaan altet profesional dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

Beliau, berkata peruntukan dana berkenaan yang keseluruhan berjumlah RM50 juta sebenarnya sudah dimulakan sejak 1998 namun melalui proses penjenamaan semula dari semasa ke semasa dan kini diperluaskan kepada atlet profesional.

Jelasnya, setiap permohonan daripada atlet profesional akan dirujuk kepada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana kelulusan hanya diberikan kepada kejohanan yang diperakui oleh MSN sahaja.

“Kalau persatuan sukan kebangsaan nak buat kejohanan peringkat antarabangsa, mereka digalakkan untuk memohon dana ini.

“Ia agak berbeza dengan Geran Padanan Sukan (GPS) kerana dana ini berbentuk geran 100 peratus tetapi mengikut kadar kerajaan dan boleh dimohon oleh persatuan sukan kebangsaan.

“Mengenai atlet profesional, apabila mereka pergi ke luar negara, mereka boleh memohon dan kita akan merujuk kepada MSN kerana MSN mempunyai kadar tertentu mereka.

“Contohnya jika ada permohonan RM1 juta, beberapa perincian akan dilihat dan ia akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

“Tahun lalu kami ada mendengar keluhan atlet (profesional) yang pergi (kejohanan antarabangsa) tetapi tidak ada bantuan, sekarang kami menjadikan ia lebih jelas,” katanya ketika sidang media pembukaan permohonan geran dan dana bagi program dan aktiviti pembangunan belia dan sukan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nagulendran turut mengumumkan tiga lagi bentuk dana ditawarkan KBS yang kini boleh dipohon iaitu GPS, Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Dana Bantuan (Pembangunan Belia) KBS.

Katanya, GPS yang diperkenalkan pada tahun lalu dengan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM40 juta ditingkatkan kepada RM50 juta pada tahun ini selepas menerima sambutan yang menggalakkan.

“Kami menerima sebanyak 925 permohonan untuk GPS dan 467 daripadanya diluluskan,” katanya.

-Berita Harian