Andre intai merit ke Paris 2024

PETALING JAYA: Skuad olahraga boleh mencongak seorang lagi prospek baharu untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila tanpa diduga atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar dalam kedudukan terbaik untuk merebut tiket ke pentas sukan itu pada Julai ini.

Perkara ini didedahkan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard yang menjelaskan, Andre kini berada di tangga 30 ranking ke Paris, dan perlu mengekalkan kedudukan itu sehingga tamat tarikh kelayakan pada Jun.

Hanya 32 atlet sahaja akan layak beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu, termasuk atlet yang layak secara merit.

Selain Andre, atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin juga dijangka menghuni tangga ke-32 ranking ke Paris berdasarkan ranking dunianya ketika ini yang berada di nombor 53 dunia.

Congakan itu juga dibuat selepas kedua-dua atlet ini mendapat tawaran beraksi di Jelajah Benua Olahraga Dunia Taraf Gangsa di Adelaide pada 10 Februari disusuli Jelajah Benua Olahraga Dunia Taraf Emas di Melbourne pada 15 Februari ini.

“Ranking dunianya (Andre) berada di tangga 101, tetapi dalam ranking ke Paris, dia kini berada di kedudukan ke 30. Jadi amat penting untuk kami menghantar dia beraksi di beberapa di kejohanan Australia.

“Tambahan standard di sana tidak setinggi di Eropah atau Amerika Syarikat, jadi ada kemungkinan mereka bakal mendapat markah bonus.

“Layak ke Sukan Olimpik adalah amat sukar, tetapi kami mahu memberi dan menyediakan peluang sebaik mungkin mereka cuba layak ke Paris,” jelas Ballard.

Terdahulu, dua lagi atlet olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabuoy turut mencongak untuk melepasi syarat kelayakan acara masing masing bagi meraih tiket ke Paris 2024. – UTUSAN