Malaysian Tigress terus dirundung malang

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara terus dirundung malang apabila tewas 0-3 di tangan Korea Selatan pada aksi klasifikasi tempat kelima hingga kelapan pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Valencia, Sepanyol, hari ini.

Ia adalah kekalahan keempat berturut-turut dialami skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim selepas tewas semua tiga perlawanan peringkat Kumpulan B untuk menduduki tangga tercorot sekali gus menutup pintu layak ke Paris.

Pada aksi bertemu Korea, hari ini, Malaysian Tigress berjaya memberikan tentangan sengit di separuh masa pertama apabila menafikan Korea daripada menjaringkan gol untuk terikat tanpa jaringan.

Bagaimanapun, skrip berbeza di separuh masa kedua apabila Korea mula di depan hasil gol padang Cho Hyejin pada minit ke-33 sebelum menambah gol kedua menerusi Lee Yuri yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-46.

Korea semakin selesa di depan selepas memperoleh pukulan sudut penalti yang kemudian disempurnakan oleh Park Seungae pada minit ke-54.

“Saya harus memberi pujian kepada pemain kerana memberi persembahan yang amat baik terutamanya pemain senior dan dibantu pemain muda. Boleh dilihat pasukan Korea amat sukar untuk menembusi bahagian pertahanan kita.

“Barisan pemain negara juga berpeluang menyerang dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Pada separuh masa kedua sedikit kelekaan menyebabkan mereka (Korea) menjaringkan gol, namun kita juga berpeluang menjaringkan gol.

“Beberapa pemain dapat menunjukkan bahawa mereka dapat meningkatkan permainan sebagai satu pasukan bermula perlawanan pertama hingga perlawanan hari ini,” kata Nasihin selepas tamat perlawanan.

Dengan kekalahan itu, skuad negara akan beraksi pada perlawanan penentuan tempat ke-7/8 yang dijadual berlangsung Sabtu ini bertemu pemenang perlawanan antara Kanada dan Ukraine.-Berita Harian