Malaysia sasar separuh akhir BATC 2024

SKUAD negara mempunyai misi besar pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 bulan depan apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran ke separuh akhir agar layak secara automatik ke Piala Thomas dan Piala Uber 2024.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh yakin barisan kejurulatihan diketuai Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky untuk membentuk pasukan terbaik menghadapi BATC 2024 di Pusat Konvensyen Setia City dari 13 hingga 18 Februari ini.

“Setakat ini mungkin barisan kejurulatihan masih memerlukan masa, jadi kami menunggu senarai pemain negara sebab tarikh akhir 26 Januari ini untuk membuat pendaftaran.

“Kami sasarkan sekurang-kurangnya layak ke kelompok empat terbaik. Saya percaya pa­sukan akan lihatnya sebagai satu proses,” katanya selepas majlis pelancaran BATC 2024 hari ini.

Saingan berpasukan lelaki bakal menyaksikan penyertaan Malaysia, China, Jepun, Indonesia, India, Taiwan, Thailand, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kazakhstan, Arab Saudi, Myanmar dan Brunei.

Kategori wanita pula menampilkan juara bertahan Indonesia, China, Jepun, Thailand, Taiwan, India, Malaysia, Hong Kong, Singapura, UAE dan Kazakhstan.

Pada edisi 2022, Malaysia menjuarai berpasukan lelaki, manakala skuad wanita negara berkongsi tempat ketiga dan keempat dengan Jepun.-Kosmo