Zii Jia dedah hubungan dengan Chong Wei jadi ‘pelik’ selepas bergelar profesional

KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia akur apabila sehingga hari ini dirinya sering dibandingkan oleh peminat dengan legenda negara, Datuk Lee Chong Wei.

Zii Jia yang meraih kemenangan di pusingan pertama Terbuka India 2024 ke atas pemain Kanada, Brian Yang 21-17, 21-19 hari ini menjawab soalan media India mengenai bagaimana dia menguruskan situasi berkenaan dan adakah dia ada berkomunikasi dengan Chong Wei baru-baru ini.

Pemain berusia 26 tahun itu kemudian menjawab yang situasi antara dirinya dan Chong Wei sebagai ‘pelik’ terutama selepas bergerak secara profesional.

“Sebagai pemain nombor satu Malaysia, saya tidak boleh elak daripada dibandingkan dengan Chong Wei. Saya tak boleh elak, kecuali tukar kewarganegaraan tetapi itu mustahil sama sekali. Jadi saya fikir, perkara ini saya perlu lalui di sepanjang karier.

“Kalau saya gagal, saya akan gagal dan ia semuanya berkisar sama ada berjaya atau gagal. Jadi saya perlu hadapi tekanan seperti ini. Tahun ke tahun, saya lebih matang, berpengalaman untuk hadapi masalah seperti ini.

“Namun bagi saya, saya belum dapat jalan penyelesaian terbaik tetapi saya dan pasukan sedang berusaha ke arah itu. Jujurnya selepas menjadi profesional, situasi menjadi pelik antara saya dan dia.

“Banyak berita di sekeliling. Saya fikir, saya mempunyai pasukan dan jurulatih berpengalaman. Jadi masa ini, mereka banyak membantu saya dan saya hanya perlu percaya dengan apa yang dilakukan pada ketika ini,” kata Zii Jia dalam hantaran temubual oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Brian yang mengekalkan rekod kemenangannya dalam lima pertemuan, Zii Jia berkata: “Saya hanya perlu kekal fokus di gelanggang dan saya rasa, Brian juga bermain dengan baik hari ini.

“Kemenangan pertama bagi musim ini, permulaan yang baik. Seperti diketahui, saya bergelut sebelum ini dan cuba mencari prestasi terbaik yang lebih stabil. Saya rasa, saya dan pasukan sudah berusaha gigih untuk merealisasikannya. Saya harap dapat lihat lebih banyak peningkatan selepas ini,” katanya.

Pada pusingan kedua esok, Zii Jia yang sedang mempertingkatkan keupayaan fizikal dan mentalnya, dijadual bertemu pilihan kelima kejohanan dari Indonesia, Jonatan Christie.- Berita Harian