Speedy Tigers perlu kenduri gol ke atas Pakistan

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara tidak mempunyai jalan lain selain membenam Pakistan dengan jaringan yang besar bagi melayakkan diri ke separuh akhir kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Oman, Jumaat ini

Pengendali Speedy Tigers, Arul Selvaraj, mengakui peluang masih terbuka buat anak didiknya untuk berada dalam kelompok dua teratas Kumpulan A dengan syarat berkenduri gol ke atas Pakistan sambil mengharapkan Great Britain ‘meratah’ China.

Justeru, tempoh rehat sehari, katanya akan digunakan sebaiknya oleh pasukan untuk kembali segar menjelang aksi terakhir kumpulan selain menganalisa kekalahan 1-4 di tangan Great Britain semalam dan kekuatan serta kelemahan, Pakistan.

“Walaupun kita tewas 1-4 tetapi jaringan gol itu penting untuk dibawa menentang Pakistan, ini kerana kita mempunyai minus empat, Pakistan minus tiga dan China minus 1. China akan beraksi dengan Great Britain, jaringan dua gol akan menentukan kedudukan tempat China nanti dan kita harus menang untuk membawa diri ke separuh akhir.

“Esok (hari ini) rehat, jadi kita akan gunakan hari berkenaan dengan sebaiknya. Ada beberapa kecederaan tetapi harap mereka dapat kembali beraksi melawan Pakistan nanti. Kita juga akan buat ‘post mortem’ melawan Great Britain dan menganalisa video untuk bertemu Pakistan,” kata Arul.

Pasukan negara harus menduduki tempat ketiga terbaik dalam kejohanan di Oman ini bagi menamatkan kemarau 24 tahun ke pentas Olimpik selepas kali terakhir beraksi di pentas temasya terbesar dunia itu di Sydney 2000.

Pada perlawanan kedua peringkat kumpulan semalam Malaysia kecundang 1-4 di tangan Great Britain yang berada di kelompok lima terbaik dunia selepas tewas di tangan China 2-3 pada aksi pembuka tirai.

“Kita harus bermain dengan taktikal disiplin tinggi supaya dapat memberikan cabaran bagi mendapatkan kemenangan ataupun seri. Kita cuba dalam dua suku pertama, banyak memerlukan corak bertahan, kita berjaya dapatkan satu jaringan dan keputusan seri di separuh masa pertama.

“Namun apabila bermulanya separuh masa kedua, kita boleh lihat kepantasan pemain Great Britain yang menunjukkan di mana kedudukan mereka dalam (ranking) dunia. Kepantasan mereka menghantar bola panjang yang menampakkan prestasi mereka.

“Selepas situasi 1-3, kita terpaksa tukar taktikal dengan cuba menguasai masa dan bermain dengan masa supaya tak melepaskan banyak jaringan. Ini memandangkan jaringan akan menentukan (kedudukan) kita apabila bermain dengan Pakistan nanti, supaya dapat melayakkan diri ke separuh akhir dengan jaringan gol lebih baik,” katanya.

Hoki Kelayakan Sukan Olimpik

Kumpulan A

Pakistan 2-0 China

Malaysia 1-4 Great Britain

Esok

Great Britain mln China, 10 mlm

Jumaat

Pakistan mln Malaysia, 12.45 tgh mlm

P M S K J B M

Great Britain 2 2 0 0 10 2 6

China 2 1 0 1 3 4 3

Pakistan 2 1 0 1 3 6 3

Malaysia 2 0 0 2 3 7 0

-Berita Harian